Tertuduh diikat jamin

Tertuduh diikat jamin

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Dua lelaki, masing-masing warga Malaysia dan tempatan yang berdepan dakwaan mencuri dilepaskan dengan ikat jamin $3,000 atau dua penjamin tempatan oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abdul Rahman membenarkan Rafidy bin Matbaraim, 35, dan Mohammad Za’al Azhar bin Rahman, 33, diikat jamin dengan syarat kedua-duanya tidak akan melakukan kesalahan sepanjang tempoh ikat jamin.

Kedua-dua tertuduh didakwa mencuri satu gas silinder, satu hampagas, satu ketuhar dan satu sistem teater rumah dari sebuah rumah di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri antara 18 sehingga 22 November 2015.

pg06_160113_mahkamah logo

Rafidy bersama seorang rakannya yang masih bebas turut berdepan kesalahan mencuri satu televisyen Toshiba, lima meriam antik, jambangan bunga, penyambungan kabel, kotak yang mengandungi pingat-pingat kebesaran diraja dan pedang antik dari sebuah rumah di Kampung Telanai pada 14 September 2015.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang memperuntukkan penjara yang boleh dilanjutkan sehingga tujuh tahun dan juga denda. Majistret Pengiran Shahyzul menetapkan 18 Januari untuk sebutan seterusnya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor ‘Adliatul Hidayah binti Haji Mohd Zaidi.