Tertuduh kes kematian kanak-kanak berdepan tuduhan tambahan

Tertuduh kes kematian kanak-kanak berdepan tuduhan tambahan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160907_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept – Seorang lelaki tempatan yang didakwa menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, yang juga anak saudaranya kini berdepan dengan pertuduhan tambahan di Mahkamah Majistret.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurjauinah binti Haji Kula dalam sebutan, hari ini, mengemukakan pertuduhan tambahan ke atas lelaki berusia 29 tahun yang namanya tidak dapat didedahkan itu, dan turut membuat permohonan untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan menyebut, tertuduh didakwa menyebabkan kematian terhadap mangsa, dan didakwa melakukan kesalahan membunuh tanpa niat di bawah Seksyen 304 (2) (Penggal 22) yang memperuntukkan penjara yang boleh dilanjutkan sehingga 15 tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Bagi tuduhan kedua, dia berdepan dakwaan melakukan kekerasan terhadap mangsa yang di bawah jagaannya sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Untuk kesalahan ketiga, tertuduh didakwa mendera seorang lagi kanak-kanak (mangsa Y) di bawah jagaannya yang berusia enam tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Pertuduhan kedua dan ketiga memperuntukkan denda tidak melebihi $20,000, penjara tidak melebihi dari 10 tahun dengan atau tanpa sebatan yang tidak melebihi 10 sebatan, atau kedua-duanya mengikut Seksyen 28(1) Akta Remaja dan Kanak-kanak, Penggal 219.

Tertuduh untuk pertuduhan keempat berdepan dakwaan menyebabkan kecederaan dengan menggunakan bahan panas pada beberapa bahagian badan mangsa Y, dan telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa penjara tujuh tahun dan sebatan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 Ogos 2016, antara Januari 2015 dan Julai 2016 di Perpindahan Mentiri Awam. Dalam sebutan, Timbalan Pendakwa Raya tidak mempunyai bantahan untuk tertuduh diberi ikat jamin namun Majistret Azrimah binti Haji Abdul Rahman berkata, Mahkamah Majistret tidak mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin kerana ia adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Majistret Azrimah memerintahkan tertuduh untuk ditahan reman di Penjara Jerudong sementara menunggu tarikh sebutan ditetapkan di Mahkamah Tinggi.

ARTIKEL YANG SAMA