Tertuduh kes seludup warga asing dibebaskan

Tertuduh kes seludup warga asing dibebaskan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Seorang lelaki warga Malaysia yang berdepan tuduhan menyeludup seorang wanita masuk ke Brunei Darussalam dibebaskan sepenuhnya oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Kanan, Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain membebaskan Omeera Omar anak Jengan selepas peguamnya, Ahmad Zakaria mempertikaikan permohonan yang dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Atiyyah binti PD Haji Abas yang terdahulu telah membuat permohonan supaya tertuduh dan rakannya, Abdul Zamil Badakwan bin Majid dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu.

“Jika pihak pendakwaan tidak meneruskan pendakwaan, klien saya wajar dilepaskan sepenuhnya,” kata Ahmad Zakaria.

Selepas beberapa minit, Majistret Kanan bersetuju untuk memihak kepada Peguam Bela Ahmad Zakaria dan melepaskan sepenuhnya tertuduh daripada dakwaan.

pg06_160112_mahkamah logo

Terdahulu, Abdul Zamil Badakwan bin Majid dan Omeera Omar anak Jengan berdepan pertuduhan membantu menyeludup seorang wanita Malaysia, Normala anak Christina melalui Imigresen Pos Kawalan Kuala Lurah pada 31 Disember 2015 kira-kira jam 7:35 pagi.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Atiyyah telah mengemukakan pertuduhan baru terhadap Abdul Zamil yang tidak diwakili peguam.

Untuk pertuduhan baru, Abdul Zamil didakwa bersubahat dengan Normala anak Christina untuk membawanya masuk ke Brunei dengan menyediakan pasport milik orang lain pada 31 Disember 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 55(1)(b) Akta Imigresen, Penggal 17 yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi tujuh tahun, dan tidak kurang daripada tiga sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan mahkamah bahawa dia akan mengemukakan satu lagi pertuduhan baru ke atas Abdul Zamil dan akan menggabungkan tuduhan itu dengan tuduhan yang sedia ada dalam sebutan akan datang.

Tiada pengakuan diambil daripada tertuduh dan Majistret Kanan menetapkan 16 Januari untuk sebutan semula, serta mengarahkan tertuduh untuk terus ditahan reman.

ARTIKEL YANG SAMA