Tertuduh Lahad Datu enggan diwakili peguam

Tertuduh Lahad Datu enggan diwakili peguam

KOTA KINABALU, 22 Jun (Bernama) – Seorang tertuduh dalam perbicaraan kes pencerobohan Lahad Datu enggan mendapatkan khidmat peguam berikutan penahanannya itu, Mahkamah Tinggi di sini, diberitahu hari ini.

Inspektor Idrus Ibrahim, pegawai bertugas di ibu pejabat polis Semporna, berkata beliau telah memaklumkan kepada tertuduh, Datu Amir Bahar Hushin Kiram, bahawa dia mempunyai hak untuk diwakili seorang peguam.

“Tetapi dia (Datu Amir Bahar) memberitahu saya bahawa dia tidak mahu seorang peguam bela,” katanya ketika memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan sekumpulan lelaki Sulu bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

Datu Amir Bahar didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, satu pertuduhan yang memperuntukkan hukuman mati; dan menjadi anggota kumpulan pengganas yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh bagaimanapun diwakili peguam Datuk N. Sivananthan yang dilantik kerajaan Filipina untuk mewakili 27 warganegara itu yang dibicarakan dalam kes berkenaan.

Idrus berkata beliau mendapat peluang untuk berjumpa sendiri dengan tertuduh pada hari dia ditangkap pada 23 Mac 2013.

Saksi memberitahu mahkamah bahawa pada hari sama, beliau mengendalikan dua kawad cam di ibu pejabat polis Semporna bagi seorang saksi yang merupakan anggota pasukan polis sukarela, Sjn Mohd Ghadafe Mohd Lipai, untuk mengecam Datu Amir Bahar daripada 14 peserta.

Beliau berkata terdapat kesukaran mencari peserta untuk mengadakan kawad cam itu yang mempunyai persamaan dari segi kaum, susuk badan dan umur seperti tertuduh.

Sungguhpun tertuduh, yang berumur awal 50-an dan berbangsa Suluk, Idrus memberitahu mahkamah bahawa peserta lain berbangsa Bajau.

“Pada masa tersebut, sukar untuk mencari peserta kawad cam yang menyerupai suspek (tertuduh) kerana mereka tidak mahu terlibat dengan kes pencerobohan),” jelas beliau.

Idrus selanjutnya menjelaskan pada pendapatnya, orang Bajau mempunyai rupa yang sama dengan orang Suluk dan Melayu.