Tertuduh melarikan diri dari Kampung Tanduo tanpa bapa mentua

Tertuduh melarikan diri dari Kampung Tanduo tanpa bapa mentua

KOTA KINABALU, 25 April – Seorang tertuduh warga Filipina dalam kes pencerobohan Lahad Datu telah meninggalkan bapa mentuanya di Kampung Tanduo di Lahad Datu untuk menyelamatkan dirinya daripada penceroboh bersenjata, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Virgilio Nemar Patulada alias Mohammad Alam Patulada, 52, berkata dia memutuskan untuk melarikan diri bersama-sama bapa mentuanya selepas berlaku serangan di kampung itu pada 1 Mac 2013, tetapi bapa mentuanya enggan mengikutnya.

“Sebenarnya, waktu kejadian tembak-menembak, saya ingin membawa bapa mentua saya (melarikan diri), tetapi dia beritahu saya yang dia tidak cukup kuat dan ada kemungkinan kami akan ditangkap dan dibunuh oleh pihak sekuriti sultan Sulu.

“Dia kata lebih baik saya lari seorang diri untuk menyelamatkan diri dan kalau ada peluang, menyerah diri kepada kerajaan Malaysia,” katanya yang memberi keterangan dalam bahasa Bajau dan diterjemahkan oleh jurubahasa mahkamah.

Patulada membela diri terhadap pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang Di-Pertuan Agong semasa pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo pada 2013.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar semasa pemeriksaan balas, tertuduh berkata dia cuba memaksa bapa mentuanya melarikan diri dari kampung itu bersama-samanya, tetapi bapa mentuanya berkeras supaya dia melarikan diri tanpanya.

“Akhirnya, saya lari seorang diri dengan berlinangan air mata,” katanya.

Dia memberitahu mahkamah yang dirinya tidak tahu apa yang berlaku ke atas bapa mentuanya selepas melarikan diri dari Kampung Tanduo.

Patulada berkata bapa mentuanya membawa dia bersama-sama ke Kampung Tanduo untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi seorang ‘sultan Sulu’.

Katanya seorang lelaki dikenali ‘Haji Musa’ telah menunjukkan kepada bapa mentuanya sepucuk surat daripada kerajaan Malaysia yang membenarkan mereka masuk ke Sabah dan bahawa tidak akan ada perang.

Tertuduh memberitahu mahkamah yang mereka menaiki bot untuk ke Kampung Tanduo pada Februari 2013 dan selepas kira-kira setengah jam perjalanan, dia lihat kalangan anggota keselamatan ‘sultan’ mengeluarkan senjata api.

Menurutnya dia diberitahu senjata api itu sebagai perlindungan terhadap lanun dan kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan penculikan yang boleh berlaku di laut.– Bernama