Tertuduh pukul dibenar ikat jamin

Tertuduh pukul dibenar ikat jamin

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_150818_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Mahkamah Majistret di sini, hari ini, membenarkan seorang lelaki tempatan yang berdepan tuduhan menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota polis dibebaskan dengan ikat jamin.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain membenarkan Pengiran Azizul Akbar bin Pengiran Haji Badaruddin, 43, dilepaskan dengan ikat jamin $10,000 atau dua orang penjamin tempatan.

Majistret Kanan turut memerintahkan tertuduh untuk mematuhi syarat-syarat ikat jamin iaitu tidak boleh mendekati mangsa atau saksi pendakwaan, mesti melapor kepada pegawai penyiasat setiap dua minggu di Balai Polis Pusat dan perlu memaklumkan kepada pegawai penyiasat sekiranya tertuduh berniat untuk keluar negara dalam tempoh prosiding dijalankan.

“Sekiranya kamu didapati melanggar syarat-syarat tersebut, mahkamah tidak teragak-agak untuk membatalkan ikat jamin kamu,” tegas Majistret Kanan.

Tertuduh menghadapi pertuduhan mencederakan APO 6383 Haji Mohd Zulhabri bin Haji Mohd Yassin dengan memukul mangsa beberapa kali di bahagian kepala pada 11 Ogos 2015 kira-kira jam 7 malam di Tasek Apartment dekat ibu negara.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 325 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang memperuntukkan penjara yang boleh dilanjutkan sehingga 10 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Norhayati binti Dato Paduka Haji Omar memohon kepada mahkamah untuk sebutan disebut semula dalam masa sebulan sementara menunggu hasil keputusan mangsa.

Sementara Peguam Bela Rajiv Prabhkaran yang sebelum ini mewakili tertuduh memaklumkan mahkamah dia tidak lagi mewakilinya mulai hari ini selepas mendapat arahan daripada keluarga tertuduh.

Majistret Kanan menetapkan 17 September 2015 untuk sebutan semula.

ARTIKEL YANG SAMA