Teruja akan p...

Teruja akan pembangunan fasiliti sukan

SUNGGUH memberangsangkan apabila akhirnya minggu lepas saya bersiar-siar di persekitaran Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan menyaksikan tanah lapang yang telah pernah diusahakan pada hujung tahun 2015 mula berubah wajah. Yang pasti pekerja-pekerja sedang beransur-ansur mengusahakan kawasan yang dijangka akan memiliki kompleks penginapan atlit dan prasarana yang ada kaitannya dengan kebajikan dan keselesaan mereka.

Sudah sampai masanya sesuatu harus dilakukan kerana negara kita dijangka akan menjadi tuan rumah Sukan Asia Tenggara ke-32 pada tahun 2023 nanti. Selain itu, negara juga tidak kendur-kendur berusaha mendapatkan hak serta keistimewaan bagi menjadi tuan rumah Sukan Borneo dan Sukan Persahabatan BIMP-EAGA pada tahun-tahun mendatang ini. Dengan adanya serta siap sempurnanya kompleks ini, keseluruhannya akan menjadi tumpuan bukan saja bagi para atlit, malah juga pihak umum yang gemar beriadah setiap pagi dan petang. Selain itu, kompleks ini juga akan menjadi pencetus pembangunan ekonomi yang berasaskan barangan sukan di samping menjana apa yang sekarang ini digelar ‘pelancongan sukan’.

Tidak mustahil menjelang tiba dan tercapainya Wawasan Brunei 2035 nanti, negara sempat merebut hak untuk menjadi tuan rumah beberapa perlawanan piala dunia apabila ASEAN menjadi tuan rumah secara kolaborasi di samping menjadi tuan rumah kepada acara-acara terpilih dalam Sukan Olimpik Musim Panas 2032 nanti, Insya Allah. Renungkanlah. – Ugan Brunei

ARTIKEL YANG SAMA