Teruja lawat kedai roti

Teruja lawat kedai roti

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 3 Sept – Lebih 40 orang murid tadika Sekolah St James bersama empat guru mereka, hari ini, bukan sahaja berpeluang menyaksikan cara membuat dan memasak malahan merasa kesedapan roti dan kek yang dijual dalam lawatan sambil belajar ke kedai roti dan kafe Sunnybee di Pekan Belait.

Kedai Roti Sunnybee memang sudah tidak asing lagi dalam kalangan peniaga di sekitar Belait yang sering menerima lawatan daripada murid-murid sekolah terutama dari kelas tadika.

Mereka tidak berhalangan untuk mengongsikan apa yang mereka lakukan seperti membuat dan memasak kek, roti dan sebagainya kepada murid-murid, selain memberikan peluang kepada mereka untuk merasakan produk yang dijual.

Lawatan tersebut antara lain bertujuan untuk memberikan pengetahuan kepada murid-murid mengenai perniagaan kedai roti dan kek serta kafe sebagai membukakan minda mereka, selain dijadikan sebagai idea semasa mereka melakukan aktiviti dalam kelas seperti mari bercerita, melukis dan membuat karangan mengenai pengalaman mereka semasa lawatan.

Selain lawatan daripada murid-murid sekolah itu, Kedai Roti Sunnybee juga pernah menerima beberapa lawatan dari sekolah-sekolah lain antaranya Sekolah Chung Ching Seria dan sebagainya.