Teruja, semangat jumpa KDYMM

Teruja, semangat jumpa KDYMM

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 19 Julai – Melibatkan diri dalam persembahan pentas ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan yang ke-70 tahun akan sentiasa menjadi kenangan dan peristiwa manis buat para peserta yang mengikuti.

Salah seorang peserta persembahan dari Sekolah Menengah Muda Hashim Tutong, Awang Akmal Syahdini bin Zulaini, 13, menjelaskan pada tahun ini merupakan kali pertama beliau mengikuti membuat persembahan dan menjadikan pengalaman yang amat bermakna bagi dirinya bersama rakan-rakannya yang lain.

Menurut pelajar Tahun 7 itu, beliau bersama rakan-rakannya yang lain mengikuti persembahan pentas sebagai Senipit dan bagi menjalani latihan persembahan tersebut, ianya adalah amat mudah dan latihan hanya dijalankan selama tiga bulan iaitu sebelum bulan puasa.

Beliau berharap jika dipanjangkan umur dan berkesempatan mengikuti latihan, beliau akan menyertainya lagi kerana baginya, untuk melibatkan diri dalam persembahan bersempena Hari Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan menunjukkan rasa cinta kitani terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Sementara salah seorang peserta bagi mewakili puak Dusun, Myzifa Arissa binti Mydan menjelaskan, tahun ini merupakan peluang pertama beliau untuk mengikuti buat persembahan koir bersama kumpulan koir lain kerana sebelum ini, beliau hanya menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap sekolahnya.

Awang Akmal Syahdini pelajar Tahun 7, Sekolah Menengah Muda Hashim Tutong bersama rakannya merasa teruja mengikuti persembahan pentas sebagai Senipit.
Awang Akmal Syahdini pelajar Tahun 7, Sekolah Menengah Muda Hashim Tutong bersama rakannya merasa teruja mengikuti persembahan pentas sebagai Senipit.
Myzifa Arissa mewakili puak Dusun menjelaskan pertama kali beliau mengikuti persembahan koir.
Myzifa Arissa mewakili puak Dusun menjelaskan pertama kali beliau mengikuti persembahan koir.

Selepas menamatkan persekolahan, beliau mengambil peluang untuk ikut serta mengikuti persembahan mewakili Puak Dusun dengan memakai pakaian Dusun.

Beliau merasa amat teruja dan gembira menyertai persembahan tersebut dan tidak menyangka untuk turun padang mengikuti persembahan adalah yang meriah berbanding hanya melihat di kaca televisyen.

Manakala salah seorang warga emas dari masyarakat Iban, Timah Gariyong, 68, dari Kampung Benutan, kelihatan bersemangat dan sudah pun duduk di kerusi paling depan sementara menunggu keberangkatan tiba Baginda Sultan bercemar duli dan beramah mesra dengan rakyat dan penduduk Daerah Tutong.

Beliau menjelaskan rasa bersemangat kerana ingin bertemu dengan Baginda Sultan dan ahli kerabat diraja yang lain.

Menurut Timah, pada tahun inilah, beliau berkesempatan untuk turun ke Pekan Tutong dari Kampung Benutan semata-mata ingin berjumpa dengan Baginda Sultan berserta ahli kerabat diraja yang lain setelah 10 tahun berlalu.

Dan pada kali ini, beliau turun ke padang bersama saudara dan ahli keluarganya dalam sama-sama lagi memeriahkan suasana Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA