Terus asah bakat raih kejayaan

Terus asah bakat raih kejayaan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Pencapaian sebuah pasukan yang baru ditubuhkan dalam dua aksi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Pasukan Bawah 22 tahun Kebangsaan Malaysia yang diadakan baru-baru ini adalah sesuatu yang memberangsangkan meskipun tewas dalam dua perlawanan tersebut.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Ketua Jurulatih Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam, Mike Wong, sambil menambah bahawa masih banyak ruang bagi para pemain untuk memperbaiki kelemahan.

Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam tewas 2-0 pada perlawanan yang diadakan pada 6 Oktober lalu dan satu lagi perlawanan yang diadakan pada 8 Oktober dengan berkesudahan 1-0 menentang Pasukan Bawah 22 tahun Kebangsaan Malaysia di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan, Malaysia.

“Pencapaian bukan sahaja bergantung kepada keputusan kerana pada saya perkembangan pasukan adalah lebih penting dalam jangka masa panjang kerana kita sangat bertuah untuk mendapat peluang dalam perlawanan pendedahan antarabangsa seperti yang diadakan baru-baru ini,” ujarnya.

Menurutnya, beliau akan merombak bahagian pertahanan dan akan mengenal pasti pemain yang terbaik di bahagian pertahanan dan perkara ini akan dibuat dalam latihan selain akan melihatkan kepada set piece yang menjadi punca bolos dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini.

Mike Wong ketika melatih pasukannya.  
Mike Wong ketika melatih pasukannya.  

Apabila ditanya mengenai serangan pula, menurutnya jaringan atau penjaring bukan jadi kebimbangannya namun untuk mencipta peluang akan menjadi agenda latihan yang utama, katanya lagi kepada media.

“Pemain baru nampak sedikit gementar namun saya yakin mereka sudah mendapat pendedahan dan ia sangat berguna kepada perkembangan mereka dan kita perlu mencari barisan pemain yang lebih muda kerana saudara kita di rantau ini sudah mula membuat langkah yang sama bermula dari usia 24–25 tahun lagi,” tegasnya lagi.

Menurutnya para pemain masih berada dalam lingkungan umur yang masih muda dan untuk mencapai kematangan, ia sememangnya mengambil masa sekurang-kurangnya tujuh tahun akan datang dan sewajarnya mereka diberikan peluang untuk lebih matang dalam sukan yang diminati ramai ini.

“Saya tidak risau dengan tahap kecergasan pemain dan pada saya mereka sudah menunjukkan prestasi yang sangat baik pada dua perlawanan itu dan saya bangga dengan kejayaan mereka,” ujar Mike Wong lagi.