Terus banteras kegiatan jenayah

Terus banteras kegiatan jenayah

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Dalam usaha membanteras kegiatan jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei bersama ahli pengawasan kejiranan telah mengadakan Operasi Rondaan Pencegahan Jenayah di beberapa lokasi Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini.

Operasi yang dijalankan pada 6 Mei lalu oleh Balai Polis Berakas bersama ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Pancha Delima, Anggerek Desa, Kampung Orang Kaya Besar Imas(OKBI), Kg Pulaie, telah melibatkan seramai tujuh orang yang diketuai oleh Ketua Kampung Haji Zulkifli bin Haji Awang Ya’akub.

Rondaan berjalan kaki bermula dari Balai Polis Berakas menuju ke Bangunan HSBC terus menghala ke kawasan Kg Pancha Delima dan ke Sekolah Rendah Anggerek Desa.

Operasi seterusnya dilanjutkan dengan menggunakan dua buah kenderaan polis di sekitar kompleks stadium, rumah-rumah kedutaan, Sekolah Menengah Yayasan, Sekolah Al-Falah, Kg Pulaie, Kg OKBI, Kg Anggerek Desa, Tapak Industri Ringan, Kondominium Sejahtera 1, Klinik Anggerek Desa dan flat-flat kosong Anggerek Desa.

Hasil rondaan tidak mendapati sebarang aktiviti yang mencurigakan yang berakhir pada jam 2:15 pagi.

Operasi rondaan pencegahan jenayah Balai Polis Berakas bersama Pengawasan Kejiranan Kg Pancha Delima, Kg Anggerek Desa, Kg OKBI dan Kg Pulaie.
Operasi rondaan pencegahan jenayah Balai Polis Berakas bersama Pengawasan Kejiranan Kg Pancha Delima, Kg Anggerek Desa, Kg OKBI dan Kg Pulaie.

Sementara itu, Balai Polis Limau Manis juga telah mengadakan rondaan pencegahan jenayah sepadu pada 4 Mei lalu bermula jam 10:30 malam.

Sebelum rondaan dijalankan, taklimat mengenainya telah diadakan di Bilik Gerakan Balai Polis Limau Manis.

Turut hadir ialah Ketua Kampung Masin, Awang Moksin bin Haji Kamis berserta ahli pengawasan kejiranan yang diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Limau Manis, Inspektor Abdul Sahrimin bin Abd Rahman bersama anggota Balai Polis Limau Manis.

Rondaan menggunakan kenderaan polis meliputi kawasan di bawah jagaan ketua Kg Masin iaitu seluruh zon di bawah Mukim Pengkalan Batu.

Operasi yang mengambil masa dua jam bermula 11:15 malam itu juga mendapati tiada sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.