Terus bantu golongan memerlukan

Terus bantu golongan memerlukan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Kesejahteraan dan keprihatinan terhadap golongan yang kurang bernasib baik terus mendapat perhatian pihak masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan seperti Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) yang pada masa ini terus berusaha untuk mengutip sumbangan derma bagi membantu membaiki dua buah rumah bagi keluarga yang kurang berkemampuan, sebuah di Daerah Brunei Muara dan sebuah lagi di Daerah Tutong.

Projek membaiki rumah-rumah berkenaan dianggarkan berjumlah $20,000 bagi setiap rumah dan pihak MKM amat mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai atau mana-mana pihak yang bermurah hati bagi menjayakan projek berkenaan.

Seruan itu disuarakan oleh Yang Dipertua MKM, Datin Paduka Hajah Intan binti Haji Mohd Kassim semasa Majlis Iftar bersama-sama keluarga-keluarga yang memerlukan anjuran bersama Yusof Halim & Partners dan MKM yang berlangsung di Restoran Stadium, hari ini.

Beliau berkata bahawa setakat ini, sebanyak $3,800 telah dijanjikan oleh para penderma.

Datin Paduka Hajah Intan berkata lebih banyak sumbangan diperlukan bagi menjayakan projek yang dianggarkan berjumlah $40,000 dan beliau menyatakan harapan supaya para penderma dapat tampil ke hadapan untuk menyumbang bagi menjayakan program khususnya membantu keluarga dan kanak-kanak yang mendiami rumah usang berkenaan.

Dayang Foo Jong Wah menyampaikan kerusi roda kepada seorang penerima.
Dayang Foo Jong Wah menyampaikan kerusi roda kepada seorang penerima.
Dayang Foo menyampaikan sumbangan derma dari BLIA kepada Datin Paduka Hajah Intan.
Dayang Foo menyampaikan sumbangan derma dari BLIA kepada Datin Paduka Hajah Intan.
Datin Paduka Hajah Intan menyampaikan sumbangan hari raya kepada para klien yang diraikan.
Datin Paduka Hajah Intan menyampaikan sumbangan hari raya kepada para klien yang diraikan.

Manakala itu, Setiausaha MKM, Dayang Hamidah Lakim dipetik berkata bahawa Projek Ramadan MKM mendapat sokongan yang amat menggalakkan di mana banyak penderma menghulurkan sumbangan bagi menjayakan program-program kebajikan yang dikendalikan oleh MKM.

Beliau berkata bahawa, baru-baru ini, MKM menerima sumbangan berjumlah $1,800 khusus bagi membantu saudara baru yang memerlukan yang berdaftar dengan MKM dan sebuah kumpulan individu dari luar negara telah menghulurkan derma berjumlah $4,000 yang mana $3,000 daripadanya akan disalurkan kepada projek membaiki dua buah rumah keluarga yang memerlukan manakala selebihnya akan disumbangkan kepada seorang ibu tunggal bagi memulakan kegiatan perniagaan kecilnya menuju ke arah kebebasan kewangan.

Di majlis iftar itu, lebih 120 klien MKM diraikan bersama ahli-ahli firma guaman, wakil dari BLIA dan MKM, di mana majlis itu memberikan peluang kepada golongan yang kurang bernasib baik menikmati suasana berbuka puasa serta mengeratkan hubungan silaturahim di antara para klien dan penyumbang di majlis berkenaan.

Di majlis iftar yang diadakan buat kali keempat itu, turut menyaksikan penyampaian sebuah kerusi roda kepada salah seorang klien MKM, Haji Tuah bin Narudin sumbangan BLIA yang disampaikan oleh wakil BLIA, Dayang Foo Jong Wah.

BLIA menyumbangkan sebanyak lima kerusi roda, dua tongkat jalan beroda dan tiga kerusi commode, yang mana sumbangan itu akan dihulurkan kepada klien-klien MKM yang memerlukan.

Di majlis berkenaan, Dayang Foo turut menyampaikan sumbangan derma kepada MKM yang diterima oleh Datin

Paduka Hajah Intan, yang turut menyempurnakan penyampaian sumbangan hari raya kepada para klien-klien MKM yang diraikan di majlis berkenaan.

Sumbangan itu dihasratkan untuk meringankan bebanan mereka yang kurang berkemampuan untuk membeli sendiri barang-barang berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA