Terus giat aktif dalam sukan

Terus giat aktif dalam sukan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 April – Dengan hasrat untuk mengeratkan hubungan silaturahim di samping menggalakkan pemain badminton veteran untuk terus bergiat aktif dan mengamalkan gaya hidup yang sihat, seramai enam pasukan badminton veteran beraksi untuk menentukan juara dalam Kejohanan Badminton Veteran Berpasukan Kali Pertama yang berlangsung di Pusat Belia, hari ini.

Menurut Pengerusi YBs (Yang Bersara), Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don, kejohanan tersebut bukan sahaja bertujuan untuk menguji kebolehan para peserta bermain badminton, tetapi juga untuk mengekalkan sikap semangat berpasukan dan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang kejohanan yang diadakan itu.

Kejohanan yang dianjurkan oleh YBs dengan kerjasama daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Persatuan Badminton Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, membuka tirai kejohanan dengan perlawanan pusingan keliling yang diadakan bermula hari ini hingga 9 April.

Haji Ahim diperkenalkan kepada para pasukan yang menyertai kejohanan itu.
Haji Ahim diperkenalkan kepada para pasukan yang menyertai kejohanan itu.

Kejohanan itu dirasmikan oleh Timbalan Yang Di-Pertua Persatuan Badminton Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Haji Ahim bin Adis, di mana sebanyak enam pasukan akan beraksi di pusingan keliling untuk menentukan empat pasukan terbaik untuk bertanding di pusingan separuh akhir nanti.

Pasukan-pasukan yang beraksi dalam kejohanan itu ialah Brumas Warriors, PDB (Pengkalan Batu), YBs ‘B’, YBs ‘A’, Tanjung Nangka ‘A’ dan Tanjung Nangka ‘B’, di mana perlawanan bagi pusingan separuh akhir dan peringkat akhir akan diumumkan pada kemudian hari.