Terus komited lahirkan pelajar berkualiti

Terus komited lahirkan pelajar berkualiti

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 4 Jan – Permulaan musim persekolahan 2016 bukan sahaja hari penting untuk pelajar-pelajar yang akan meneruskan perjalanan sebagai seorang pelajar ke peringkat seterusnya, malah juga bagi guru-guru untuk meningkatkan usaha ke arah kecemerlangan prestasi sekolah.

Wartawan Media Permata, hari ini, telah berkesempatan untuk menemu bual Pengetua Sekolah Rendah Sungai Teraban, Dayang Risrani binti Haji Abdul Halim yang berkata dengan prestasi rekod Peperiksaan Sekolah Rendah (PSR) kelulusan 100 peratus Gred A hingga C yang diperolehi oleh murid-murid Tahun 6 pada tahun lalu, objektif pihak sekolah tahun ini adalah untuk mengekalkan prestasi rekod tersebut.

“Tahun lepas kami menganggarkan kenaikan prestasi sebanyak 72 peratus dan bagi mendapat 100 peratus kelulusan adalah amat bermakna sekali bukan sahaja bagi pihak sekolah dan murid-murid, namun begitu juga bermakna bagi para ibu bapa murid-murid tersebut dan guru-guru sekolah yang mengajar murid-murid Tahun 6 tersebut,” katanya.

Menurutnya lagi, strategi pendidikan akademik di sekolah tersebut adalah sama, dengan memberi perhatian sepenuhnya kepada prestasi dan pencapaian mata pelajaran mereka.

“Komitmen serta dedikasi tinggi yang diberikan oleh para guru amat memberangsangkan di mana bagi membantu para murid memahami tiga mata pelajaran utama iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan juga Sains, kelas petang diadakan selama sejam untuk tiga mata pelajaran tersebut bagi murid-murid yang menduduki PSR bermula bulan Oktober nanti dan juga pada bulan Februari ini bagi murid-murid kelas lain,” tambahnya lagi.

Para pelajar Sekolah Rendah Sungai Teraban ketika mendengar arahan cikgu mereka.
Para pelajar Sekolah Rendah Sungai Teraban ketika mendengar arahan cikgu mereka.
Keriangan jelas terpancar di wajah para pelajar di Sekolah Menengah Chung Hua yang baru memasuki alam persekolahan.
Keriangan jelas terpancar di wajah para pelajar di Sekolah Menengah Chung Hua yang baru memasuki alam persekolahan.

Beliau turut melahirkan harapan pihak sekolah untuk mencapai sekurang-kurangnya 82 peratus bagi PSR nanti, “saya yakin jika murid-murid berubah sikap untuk maju dalam akademik pada tahun ini kami akan dapat mengekalkan prestasi yang sempurna di akhir tahun ini”.

Kemasukan murid-murid bagi Sekolah Rendah Sungai Teraban tahun ini adalah seramai 50 orang bagi semua peringkat.

Sementara itu, di Sekolah Menengah Chung Hua (CHMS), kemasukan pelajar-pelajar pada tahun ini ialah seramai 1,022 orang dengan 302 bagi pelajar menengah, 504 bagi Tahun 1 hingga 6 dan 216 orang murid pra-tadika.

Dalam temu bual bersama Pengetua CHMS, Dayang Hong Geok Cheng, beliau berkata jumlah kemasukan pada tahun ini hampir sama dengan jumlah kemasukan tahun lalu dan tahun ini juga menyaksikan tambahan dua orang guru sukarelawan dari China yang didatangkan untuk mengajar murid-murid Bahasa Mandarin, menambah jumlah para guru dan kakitangan sokongan kepada 89 orang.

Ditanya mengenai peningkatan dan persiapan akademik di sekolah tersebut, beliau berkata, CHMS pada tahun lalu sudah siap melalui pengubahsuaian bangunan-bangunan yang memerlukan peningkatan drastik untuk memberi pelajar dan kakitangan guru persekitaran serta pengalaman belajar yang selesa dan selamat.

Jelasnya, apabila pihak sekolah menggunakannya pada awal tahun lalu hingga kini, ia telah memberi banyak kesenangan kepada murid-murid dari segi pembelajaran dan juga para ibu bapa dalam hal keselamatan mereka.

Menurutnya lagi, antara perkara lain yang diberi peningkatan adalah menyediakan penghawa dingin di dalam dewan serba guna, mengubahsuai bilik guru dan guru besar termasuk memindahkan dewan persidangan lebih dekat dengan bilik guru-guru untuk sebarang perbincangan.

“Selain itu, pejabat ini juga mempunyai bilik rawatan bagi merawat pelajar-pelajar yang mengalami kecederaan atau sakit demam,” tambahnya lagi.

Dalam masa yang sama, Pengetua CHMS mengongsikan bahawa pada tahun ini terdapat kenaikan lebih 50 peratus murid-murid Melayu beragama Islam yang memasuki Tahun 1 di sekolah itu.

“Tahun-tahun sebelumnya, cuma kurang daripada 50 peratus murid-murid berkenaan yang memasuki untuk belajar di sekolah ini,” jelasnya.

Ditanya sebab di sebalik kenaikan peratusan tersebut, Dayang Hong berkata ia adalah kerana cara didikan serta disiplin yang disemai dalam diri murid dan pelajar, termasuk persekitaran yang baik untuk belajar di sini boleh menjadi salah satu sebabnya.

ARTIKEL YANG SAMA