Terus perbaiki perihal sumber manusia

Terus perbaiki perihal sumber manusia

Oleh Sim Y. H

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Sept – Pejabat Peguam Negara melalui Unit Sumber Manusia terus melaksanakan usaha bagi memperbaiki keadaan sumber manusia dalam pejabat berkenaan dan salah satu usaha itu adalah memperkenalkan Program Pengurusan Bakat.

Program ini bukan sahaja menumpukan kepada satu aspek fungsi sumber manusia tetapi merangkumi kesemua proses atau kegiatan untuk merekrut, mengenal pasti, mengekalkan, mengembangkan dan menggunakan bakat yang ada bagi kebaikan organisasi berkenaan.

Perkara itu dijelaskan oleh Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binti Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh ketika berucap pada Hari Terbuka Pejabat Peguam Negara 2015 dan Pelancaran Buku Laporan Pejabat Peguam Negara 2013-2015 yang berlangsung di Bangunan Undang-Undang dan Mahkamah-Mahkamah, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, hari ini.

Beliau juga berkata, Pejabat Peguam Negara mengambil maklum bahawa perlunya untuk menyelaraskan skim perkhidmatan dengan daya saing pasaran dari segi skala gaji dan dengan itu, satu skim baru telah dicadangkan untuk menandingi daya saing pasaran dan, ulasnya lagi, cadangan itu telah dikemukakan ke Jabatan Perkhidmatan Awam.

Yang Berhormat Datin turut mendedahkan bahawa jumlah keseluruhan pegawai dan kakitangan di Pejabat Peguam Negara pada masa ini seramai 201 orang.

Yang Teramat Mulia berkenan menerima sembah taklimat mengenai buku laporan daripada Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati.
Yang Teramat Mulia berkenan menerima sembah taklimat mengenai buku laporan daripada Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati.

Jelasnya, jumlah atau permintaan bagi kerjaya perundangan terus meningkat dan ini menunjukkan bahawa peluang bagi meningkatkan kerjaya kepada peringkat kanan juga meningkat bagi memenuhi permintaan itu.

Dalam hubungan itu, beliau menyatakan harapan supaya pelajar-pelajar atau mereka yang berminat untuk menceburi bidang perundangan akan terus komited untuk berkhidmat kepada negara yang akan memandu kerjaya mereka di Pejabat Peguam Negara yang memainkan peranan penting dalam sistem perundangan Negara Brunei Darussalam serta mempertahankan undang-undang.

Yang Berhormat Datin turut mengongsikan mengenai pertemuan beliau dengan para pelajar undang-undang di United Kingdom pada Februari lalu, di mana beliau berkata lawatan itu bermatlamat untuk menggalakkan mereka memulakan kerjaya perundangan di Pejabat Peguam Negara.

“Saya percaya bahawa Pejabat Peguam Negara merupakan tempat yang sesuai untuk menggunakan dan mengembangkan lagi ilmu pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan oleh seorang peguam dan ia juga akan menyediakan anda dengan pendedahan yang terbaik dalam pelbagai aspek amalan dan bidang-bidang perundangan termasuk pendakwaan, penggubalan undang-undang dan untuk memberikan nasihat kepada kementerian dan jabatan-jabatan yang berkenaan dalam pelbagai perkara domestik dan antarabangsa.”

Pada masa yang sama, beliau mengambil maklum mengenai pelbagai kebimbangan yang disuarakan oleh para pelajar semasa lawatan itu yang menyatakan kesukaran mereka untuk memperoleh tempat bagi melakukan kursus latihan bar profesional.

Yang Berhormat Datin berkata bahawa pejabatnya terus menggalakkan pegawai-pegawai perundangan yang ada dan yang berkhidmat untuk Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan kelayakan profesional mereka dan beliau berkata bahawa pejabatnya telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan bagi membantu mereka dalam perkara itu.

Mengulas mengenai hari terbuka itu, Yang Berhormat Datin menyeru para pelajar untuk tidak segan mendapatkan maklumat mengenai kerjaya dalam bidang perundangan daripada pegawai-pegawai yang bertugas.

Beliau turut menggalakkan para pelajar untuk berkhidmat kepada negara dengan menceburi kerjaya perundangan itu serta berkhidmat dengan penuh ketekunan, profesionalisme dan integriti selaku generasi muda yang akan membawa kerjaya perundangan negara ke tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA