Terus pupuk semangat kenegaraan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Bagi memberigakan mengenai ASEAN, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa, selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI telah mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN di Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA), di sini, hari ini.

Jerayawara yang dihadiri lebih 180 orang pelajar Tahun 7 dan 8 sekolah berkenaan juga diikuti dengan Taklimat Kenegaraan melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan.

Kedua-dua taklimat tersebut dihadiri oleh Pengetua SM SMJA, Haji Juma’ata Sonadey bin Haji Mornie.

Taklimat ASEAN telah disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Dayang Mufidah binti Haji Abdul Hakim dan Kuiz ASEAN pula dikendalikan oleh Penolong Pegawai Perhubungan Awam, Tingkat Satu, Dayangku Siti Ummikalthum bin Pengiran Haji Muhd yang diakhiri dengan tayangan video animasi mengenai ASEAN.

Hajah Hamsah semasa menyampaikan Taklimat Kenegaraan yang diadakan di SM SMJA kelmarin.
Lebih 180 pelajar menghadiri taklimat terdiri daripada pelajar Tahun 7 dan 8 dari Sekolah SM SMJA.

Manakala itu, Taklimat Kenegaraan yang menyentuh mengenai ‘Raja Kita’, bendera Negara Brunei Darussalam, tatacara menaikkan bendera negara serta menghayati lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ telah disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Jabatan Penerangan, Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya.

Kuiz Kenegaraan pula telah dikendalikan oleh Pembantu Pegawai Luar Penerangan, Awang Mohammad Nor Amirudin bin Haji Brahim.

Taklimat Kenegaraan berkenaan bertujuan untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan para penuntut sekolah dalam menghormati serta menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara.

Sementara itu, Taklimat ASEAN diadakan untuk memberigakan serta memberi pendedahan dalam meningkatkan kesedaran para penuntut sekolah dalam menanai satu komuniti ASEAN, selaras dengan moto ASEAN iaitu ‘Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti’.