Terus rapat Komuniti ASEAN

Terus rapat Komuniti ASEAN

BANGKOK, 2 Mac (Bernama) – Malaysia akan mengekalkan peranannya sebagai pemimpin dalam memastikan Komuniti ASEAN yang baru diwujudkan, berkembang lebih rapat dalam semua sektor.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata ASEAN yang rapat dan bersepadu akan memacu banyak manfaat kepada negara anggota, sama ada dalam perdagangan, pelaburan atau pelancongan.

“Prestasi ASEAN sangat baik berbanding rantau lain di dunia. Oleh itu kami sangat yakin terhadap rantau ini dan prospeknya,” katanya semasa jamuan malam kelmarin bersama komuniti perniagaan dan profesional Malaysia di Thailand.

Majlis itu berlangsung di Kedutaan Malaysia di sini.

Komuniti ASEAN diwujudkan secara rasminya pada Disember tahun lepas semasa kepemimpinan Malaysia mengetuai kumpulan serantau itu, dan Kuala Lumpur, kata Mustapa, akan mengekalkan peranannya sebagai pemimpin dalam usaha untuk merapatkan lagi rantau ini.

Datuk Seri Mustapa Mohamed (empat kiri) hadir pada Seminar Peluang-peluang Ekonomi Malaysia-Thailand di Bangkok, kelmarin. Seminar dirasmikan Menteri Industri Thailand, Atchaka Sirunbuang (empat kanan). – Bernama
Datuk Seri Mustapa Mohamed (empat kiri) hadir pada Seminar Peluang-peluang Ekonomi Malaysia-Thailand di Bangkok, kelmarin. Seminar dirasmikan Menteri Industri Thailand, Atchaka Sirunbuang (empat kanan). – Bernama

Beliau akan mengunjungi lebih banyak negara ASEAN tahun ini bagi menjalin hubungan dan rantaian yang lebih baik ke arah meningkatkan penyepaduan kumpulan 10 anggota itu.

Mustapa berkata setiap negara anggota ASEAN mempunyai kekuatan masing-masing, dengan memetik Thailand sebagai peneraju dalam sektor automotif, pelancongan dan pertanian manakala Malaysia dalam sektor perbankan, elektrik dan elektronik serta Teknologi Maklumat.

“Kita perlu melihat antara satu sama lain dan membuat perbandingan. Kita juga perlu belajar daripada satu sama lain. Malaysia boleh belajar dari negara anggota lain ASEAN berasaskan kekuatan mereka dalam sektor yang relevan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan mahu melihat lebih banyak syarikat Malaysia menembusi pasaran antarabangsa, seperti yang dicapai, antara lain, oleh Petronas, Khazanah Nasional, Sime Darby dan Felda Global Ventures (FGV).

Dalam negara, Mustapa berkata ekonomi negara kini berhadapan cabaran, termasuk kejatuhan harga minyak yang menjejaskan hasil kerajaan, memandangkan 30 peratus daripada sumber pendapatan negara disumbangkan oleh minyak dan gas pada tahun lepas.

“Tahun ini kerajaan menyasarkan minyak dan gas akan menyumbang 20 peratus kepada pendapatan negara. Namun, sebarang kekurangan dalam pendapatan diimbangi oleh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),” katanya.

Satu lagi cabaran yang dihadapi oleh ekonomi tempatan ialah harga komoditi – minyak sawit dan getah – yang rendah yang sebahagian besarnya berpunca daripada ekonomi China yang perlahan.

Mustapa akan menghadiri seminar perdagangan Malaysia-Thailand hari ini, sebelum meneruskan perjalanan ke Chiangmai pada lewat petang untuk menghadiri pemukiman Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) yang bermula esok.

Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain.

ARTIKEL YANG SAMA