Terus tangani jenayah rentas sempadan

Terus tangani jenayah rentas sempadan

PITAS, 30 Jun (Bernama) – Penduduk di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone) diminta supaya terus menyokong usaha pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dalam merealisasikan wawasan kerajaan yang mahu melihat komuniti dalam Esszone hidup dalam keadaan tenang, aman dan damai.

Ketua Pegawai Eksekutif Esscom (CEO) Ruji Ubi berkata Esscom akan terus berusaha menangani semua jenis jenayah rentas sempadan di Esszone dengan meningkatkan rondaan di perairan dan daratan dengan aset dan kekuatan sedia ada.

Beliau berkata Esscom turut mengambil kewujudan kira tali barut sedia ada di perairan dan daratan yang telah bertindak memudah cara penceroboh bersenjata dan juga penjenayah rentas sempadan.

Ruji berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa anjuran Esscom di Masjid Pangiran Haji Abdul Karim, Kampung Kalumpang, dekat sini, malam tadi. Turut hadir Pengarah Pusat Operasi Esscom Brig Jen Datuk Tuan Roslan Tuan Ismail dan Timbalan Pengarah Perisikan Esscom ACP Hashim Justin.

Sehubungan itu, beliau berkata kerjasama semua pihak termasuk masyarakat, ketua kampung, pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) serta pemimpin masyarakat amat diperlukan dalam memberikan maklumat supaya tindakan yang lebih berkesan dapat diambil ke atas penjenayah.

Beliau berkata ukuran keberkesanan operasi Esscom tidak wajar disandarkan kepada insiden tertentu sahaja.

Katanya kejadian penculikan di Restoran Ocean King, Sandakan baru-baru ini yang dipercayai didalangi orang dalam atau pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sudah berada di Sabah bukanlah ukuran sebenar keberkesanan pengoperasian Esscom di Esszone.

“Permasalahan yang kita hadapi di Esszone agak ‘unik dan luar biasa’ berbanding isu keselamatan yang dihadapi negeri-negeri lain di Malaysia, yang mana Esscom bukan sahaja berdepan dengan ancaman dari luar tetapi juga ancaman dari dalam, khususnya PATI yang dipercayai menjadi tali barut kepada penjenayah rentas sempadan.

Harus diingat sebelum penubuhan Esscom dua tahun lalu, isu penculikan dan kebanjiran PATI di Sabah termasuk di Esszone sudah hangat diperdebatkan oleh rakyat Sabah … ini bermakna isu ini bukanlah baru,” katanya.