Terus tarik minat pelaburan Jepun

Terus tarik minat pelaburan Jepun

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) – Malaysia, yang menawarkan pelbagai insentif dan persekitaran perniagaan yang kondusif, terus menarik minat pelaburan yang kukuh dari Jepun.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata setakat ini, pelaburan Jepun di Malaysia berjumlah RM101 bilion dalam sektor pembuatan dengan mengambil kira-kira 450,000 pekerja.

Malaysia bukan sahaja menarik minat yang baik dari Jepun tetapi negara itu juga merupakan pelabur asing terbesar tahun lepas dengan pelaburan diluluskan sebanyak RM10.9 bilion dalam sektor pembuatan.

“Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, kita menerima RM1.6 bilion pelaburan dari Jepun. Oleh itu, kita percaya Malaysia akan terus menjadi destinasi pelaburan utama bagi syarikat-syarikat Jepun,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran awal televisyen “Sony Ultra Slim 4K” di sini hari ini, Mustapa berkata trend yang menggalakkan ini adalah hasil kestabilan politik negara, kemudahan yang sangat baik, persekitaran makro dan infrastruktur yang hebat.

Datuk Seri Mustapa Mohamed. – Bernama
Datuk Seri Mustapa Mohamed. – Bernama

Beliau berkata kementeriannya kini sedang berunding dengan beberapa syarikat Jepun dalam usaha untuk menarik mereka menggunakan inisiatif hab utama yang berkuat kuasa pada 1 Mei tahun ini, bagi menggalakkan mereka menempatkan operasi peringkat global dan serantau mereka di Malaysia.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia telah mempromosikan insentif ini secara agresif kepada syarikat-syarikat Jepun dan yang lain, dan terdapat syarikat yang berminat untuk menjadikan Malaysia sebagai pangkalan global serantau, kata Mustapa.

Beliau berkata, Sony telah berada di Malaysia sejak 25 tahun lepas dan merupakan antara pelabur terbesar Jepun di negara ini dengan pelaburan sebanyak RM2.2 bilion dan mempunyai 10,000 pekerja, menjadikannya antara majikan terbesar dalam kalangan syarikat Jepun.

Televisyen Sony Ultra Slim 4K, yang akan diperkenalkan ke pasaran pada bulan depan, adalah suatu yang boleh dibanggakan kerana ia direka dan dihasilkan oleh jurutera Malaysia dan Jepun dan hanya dikeluarkan di Malaysia, kata Mustapa.