Terus utamakan kesejahteraan rakyat

Terus utamakan kesejahteraan rakyat

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat boleh meletakkan keyakinan terhadap kerajaan tanpa sebarang keraguan berdasarkan rekod cemerlangnya menguruskan negara dalam semua keadaan.

Sambil memberi contoh bahawa walaupun negara sedang melalui keadaan ekonomi global tidak menentu pada masa ini, Perdana Menteri berkata Malaysia secara realitinya masih stabil dan kukuh dengan asas ekonomi, serta terus berdaya saing dan bukannya menjadi sebuah negara gagal atau bankrap.

“Letakkanlah keyakinan…taruhlah harapan, bahawa…inilah kerajaan yang boleh dibergantung harap, demi masa depan hari muka, anak cucu dan keturunan kita.

“Dalam apa jua keadaan, saya dan rakan-rakan akan meneruskan perancangan ekonomi negara dengan mengutamakan serta mendahulukan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika membentangkan Bajet 2016, selama satu jam setengah di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Najib menegaskan bahawa kerajaan tanpa jemu dan putus asa ingin membuat kebaikan dan kebajikan kepada rakyat, dengan komitmen kesungguhan dan pengorbanan atas nama kebaktian pada nusa dan bangsa.

“Kita berasa kesal, bahkan sebenarnya, kita amat-amat kesal, dengan tindak-tanduk tidak bertanggungjawab oleh musuh dari dalam, mahupun luar, yang cuba palitkan dan merosakkan imej negara.

“Pada kita…perbuatan segelintir pihak ini, akan hanya memporak-perandakan, sampai boleh memusnahkan apa yang terbina selama ini,” katanya.

Merujuk kepada perbuatan segelintir pihak itu, Perdana Menteri berkata ada juga orang awam tidak menyangka atau tidak menduga turut menjadi seperti ‘api dalam sekam’ dan menjadi ‘gunting dalam lipatan’.

Najib berkata sebagai seorang pemimpin dan sebagai manusia biasa seperti semua orang lain, beliau juga mempunyai kelebihan dan kelemahan namun beliau tidak akan berhenti berusaha dalam perjuangannya untuk kejayaan Malaysia.

“Sudah menjadi adat orang berjuang, pasti akan menempuh rintangan dan dugaan. Namun…biarpun berjuta gugatan menghalang, biar menggunung ombak mendatang, kita tidak akan sesekali berputus asa.

“Bersama-sama dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi…berserta anggota pentadbiran dan pimpinan-pimpinan Barisan Nasional… sehati sejiwa…akan tetap tabah dan bertawakal meneruskan perjuangan yang mulia ini,” katanya.

Dalam ucapan yang menjadi tumpuan negara dan disiarkan secara langsung menerusi beberapa stesen TV, Perdana Menteri juga mengetengahkan tentang iltizam politik kerajaan melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai keputusan tepat bagi Malaysia walaupun ia mendapat tentangan daripada pelbagai pihak.

Pihak pembangkang katanya, yang dulu menentang GST dengan keras dan lantang, kini mula menerima, bahkan memasukkan pula dalam dokumen bajet mereka dan keadaan ini sekali gus menunjukkan bahawa pendirian pembangkang adalah sentiasa berubah dan tidak konsisten.

“Oleh itu, berdiri atas pendirian sedemikian, kerajaan yang bertanggungjawab ini, akan terus melakukan keputusan yang betul, waima tidak bersifat populis, demi mendahulukan rakyat dan kepentingan negara,” katanya.

Najib sebelum itu menjelaskan pelaksanaan GST dapat menampung sebahagian besar kekurangan hasil negara yang disebabkan kejatuhan harga minyak di pasaran dunia sehingga menjejaskan pendapatan Petronas dan sumbangannya kepada hasil negara.

ARTIKEL YANG SAMA