Terus yakin prospek perniagaan ASEAN

Terus yakin prospek perniagaan ASEAN

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) – Tinjauan Unjuran Perniagaan tahunan ASEAN mendapati syarikat Amerika Syarikat secara umumnya terus yakin terhadap prospek perniagaan di ASEAN.

Dikeluarkan oleh Dewan Perniagaan AS dan Dewan Perniagaan Amerika Singapura, tinjauan itu membabitkan 471 eksekutif kanan syarikat AS di kesemua 10 negara anggota ASEAN. Tinjauan itu menunjukkan 72 peratus responden melaporkan bahawa tahap perdagangan dan pelaburan mereka di ASEAN meningkat dalam tempoh dua tahun lepas manakala 86 responden menjangkakan pembabitan mereka akan meningkat dalam tempoh lima tahun.

Naib Presiden Kanan (Asia) Dewan Perniagaan AS, Tami Overby berkata rantau ASEAN meneruskan pertumbuhan padu meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi dunia. “Namun, keyakinan ini tidak boleh diambil mudah. Kami juga menyaksikan penurunan sederhana namun jelas, sejak beberapa tahun lepas, dalam bentuk petunjuk keyakinan secara menyeluruh,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Naib Presiden Kanan (Asia) Dewan Perniagaan AS, Tami Overby.
Naib Presiden Kanan (Asia) Dewan Perniagaan AS, Tami Overby.

Sejumlah 53 peratus responden juga berkata pasaran ASEAN menjadi semakin penting dari segi pulangan hasil kepada syarikat di seluruh dunia dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengarah Eksekutif AmCham Singapura, Judith Fergin berkata 2015 merupakan tahun yang penting bagi ASEAN. “Walaupun pelancaran Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) akan mengukuhkan daya tarikan ASEAN kepada pelabur, keutamaan agenda yang ditetapkan ASEAN pasca AEC akan menentukan tahap pembangunan merentas ekonomi rantau itu,” katanya. Dari segi keutamaan kerja masa depan bagi meningkatkan penyepaduan ekonomi serantau, responden yang ditinjau memberi penekanan ke atas usaha untuk menangani halangan bukan tarif kepada perdagangan, meningkatkan ketelusan serta menggalakkan tadbir urus yang baik.