Teruskan amalan mulia di bulan Syawal

Teruskan amalan mulia di bulan Syawal

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Julai – Dalam suasana berhari raya di bulan Syawal ini, umat Islam di negara ini digalakkan untuk melakukan ibadah sunat iaitu puasa sunat enam hari pada bulan Syawal kerana ganjarannya begitu besar seolah-olah ia berpuasa sepanjang tahun.

Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini menjelaskan, puasa enam di bulan Syawal afdal dan utama jika dikerjakan secara berturut-turut. Bagaimanapun, tidak menjadi kesalahan jika puasa enam itu dilakukan secara berselang hari atau dibuat pada bila-bila masa asalkan di bulan Syawal.

Menurut khatib, puasa sunat enam pada bulan Syawal adalah sunat dikerjakan oleh orang yang telah mengerjakan puasa Ramadan sebulan penuh dan sunat dikerjakan oleh orang yang tidak berpuasa penuh di bulan Ramadan disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syarak.

Manakala bagi orang yang sengaja meninggalkan puasa Ramadan tanpa keuzuran syarak, hukumnya adalah haram melakukan puasa sunat enam selagi belum mengqada puasanya itu.

Menyentuh mengenai kelaziman masyarakat di negara ini untuk menghulurkan sedekah atau pemberian duit raya, khatib berkata, amalan tersebut adalah baik kerana ia berkonsepkan sedekah atau pemberian serta sememangnya sangat digalakkan.

ARTIKEL YANG SAMA