Teruskan misi ‘reda keprihatinan’ di Qatar

Teruskan misi ‘reda keprihatinan’ di Qatar

DOHA, 3 Ogos (AFP) – Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry tiba di Qatar semalam bagi rundingan dengan rakan sejawat Teluk Arab pada pusingan akan datang jelajah serantau untuk meredakan keprihatinan para sekutu berhubung perjanjian nuklear Iran.

Kerry mendarat di Doha, ibu negara Qatar petang semalam selepas lawatan hujung minggu ke Mesir, di mana beliau berusaha untuk memberi jaminan kepada rakan sejawatnya Sameh Shoukry dan Presiden Abdel Fatah al-Sisi bahawa perjanjian tersebut akan memantapkan lagi keselamatan di Timur Tengah.

“Tidak syak lagi jika rancangan Vienna dilaksanakan sepenuhnya, ia akan menjadikan Mesir dan semua negara di rantau ini lebih selamat berbanding sebelumnya,” Kerry memberitahu sidang media bersama dengan Shoukry mengenai perjanjian nuklear bersejarah tersebut.

Mesir dan negara serantau lain seperti Arab Saudi masih sangsi dengan Iran, yang mereka lihat kemungkinan besar tidak akan teragak-agak akan melanggar perjanjian berkenaan.

John Kerry (dua dari kiri) mendengar penerangan oleh Menteri Luar Oman, Yusuf bin Alawi (kiri) pada pertemuan menteri-menteri luar Majlis Kerjasama Teluk pada 3 Ogos 2015 di Doha, Qatar. – AFP
John Kerry (dua dari kiri) mendengar penerangan oleh Menteri Luar Oman, Yusuf bin Alawi (kiri) pada pertemuan menteri-menteri luar Majlis Kerjasama Teluk pada 3 Ogos 2015 di Doha, Qatar. – AFP

Kerry berkata Amerika Syarikat memperakui bahawa “Iran terbabit dalam usaha menjejaskan kestabilan aktiviti di rantau berkenaan – dan oleh sebab itulah adalah penting untuk memastikan bahawa program nuklear Iran kekal untuk keamanan keseluruhannya.”

Hari ini, Kerry mengadakan pertemuan dengan enam rakan sejawatnya daripada Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang didominasi Sunah Wal Jemaah untuk cuba menghapuskan kebimbangan mereka mengenai Syiah Iran selepas perjanjian nuklear tersebut. GCC membabitkan Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.