Teruskan sokong usaha kerajaan

Teruskan sokong usaha kerajaan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mac – Semua pihak harus bekerjasama menyokong padu usaha kerajaan untuk mempelbagaikan ekonomi bagi merealisasikan matlamat negara untuk terus membangun, aman dan makmur, jelas ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Tahamit bin Haji Nudin dalam ucapan penangguhannya semasa Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang untuk hari ke-12, hari ini.

“Jika kita melihat sejarah Brunei, ujian-ujian yang lebih getir telah kita tempuhi. Berkat kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, ujian yang sedang kita hadapi pada masa ini, akan kita selesaikan satu-persatu dengan sokongan semua rakyat.”

Sementara itu, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Jumat bin Akim dalam ucapan penangguhannya pula menyatakan harapan sekiranya 70 peratus strategi yang telah digariskan oleh pihak kementerian-kementerian dapat dilaksanakan, beliau percaya bahawa Negara Brunei Darussalam akan terus aman dan makmur.

Beliau menyatakan bahawa semua pihak mengharapkan perancangan dapat dilaksanakan mengikut keutamaan di samping berbelanja secara berhemah tanpa menjejaskan kepentingan masyarakat.

“Rakyat juga diseru akan sentiasa menanam semangat rajin berusaha, merebut peluang-peluang perniagaan yang sekarang ini telah diberikan berbagai-bagai kemudahan, melalui perubahan berbagai-bagai prosedur dan sistem, semata-mata untuk menjinakkan rakyat dan penduduk negara ini dalam bidang urus niaga bagi sara diri serta keluarga dan menjana ekonomi negara.”

Yang Berhormat Haji Tahamit bin Haji Nudin.
Yang Berhormat Haji Tahamit bin Haji Nudin.

pg01_160322_MMN_Logo

Sementara itu, bagi menggalakkan penyertaan golongan belia dalam bidang keusahawanan bagi membina belia yang ingin bergiat aktif dalam perniagaan, Yang Berhormat Haji Jumat menyatakan harapan supaya pihak yang berkenaan dapat memikirkan mekanisme yang dapat merangsang golongan belia untuk berminat menceburi bidang perniagaan yang boleh mereka sertai.

Oleh itu, Yang Berhormat Haji Jumat mencadangkan supaya Pusat Perniagaan untuk belia dapat disediakan di keempat-empat daerah di Negara Brunei Darussalam.

“Dalam pusat tersebut disediakan ruang seperti kedai, kedai gunting rambut, tempat perniagaan jenis-jenis makanan ringan dan juga bengkel membaik pulih telefon bimbit dan jika boleh bengkel membaiki kereta serta restoran yang dilengkapi dengan kemudahan yang diperlukan.”

Beliau berkata bahawa setiap belia yang menjalankan apa jua bidang kursus ditempatkan sementara menggunakan ruang di pusat berkenaan untuk mempraktikkan kemahiran yang diikuti.

“Apa yang nampak sekarang ini, banyak kursus yang dijalankan dan banyak juga mereka yang menamatkan kursus, belum banyak yang kita lihat bergiat aktif dalam bidang perniagaan.”

Yang Berhormat Haji Jumat percaya, melalui kaedah itu, akan dapat menyemai benih usahawan masa akan datang serta menjadi pelaburan masa depan negara.