Teruskan tradisi keluarga

Teruskan tradisi keluarga

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 24 Julai – Sudah menjadi tradisi keluarga, sejak mereka masih kecil lagi, mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri yang diusahakan oleh kedua ibu bapa mereka.

Biarpun kedua ibu bapa mereka sudah tiada lagi di dunia ini, tetapi tradisi yang mereka amalkan mesti diteruskan, kerana melaluinya, dihasratkan untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim, bukan hanya dalam kalangan sanak saudara malahan juga rakan-rakan dan kenalan.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Kumpulan Serikandi Sendirian Berhad, Shaikh Haji Khalid bin Shaikh Haji Ahmad, memberitahu Media Permata, majlis rumah terbuka di hari raya sudah menjadi kemestian bagi mereka sekeluarga, yang mana ia diadakan sama ada pada hari raya pertama atau seterusnya.

Berkumpul sesama adik beradik, anak-anak buah, serta ahli keluarga yang datang dari jauh ataupun yang dekat, selain tidak kurang dengan kehadiran dalam kalangan rakan-rakan seperniagaan, kenalan dan sebagainya menceriakan lagi suasana Sambutan Hari Raya Aidilfitri, sambil beramah mesra dan menikmati jamuan yang dimasak istimewa bagi para tetamu.

Shaikh Haji Khalid dan isteri beramah mesra dengan para tamu yang datang ke majlis rumah terbuka mereka.
Shaikh Haji Khalid dan isteri beramah mesra dengan para tamu yang datang ke majlis rumah terbuka mereka.
Shaikh Haji Khalid bersama isteri dan ahli keluarga lainnya.
Shaikh Haji Khalid bersama isteri dan ahli keluarga lainnya.

Rumah terbuka keluarga mereka turut dihadiri kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan, syarikat swasta, persatuan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.

“Saya dan ahli keluarga, mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan, dan terima kasih serta ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin, kepada semua yang sudi menghadiri majlis kami, baik pada tahun ini dan juga tahun-tahun yang sudah, semoga Allah mengizinkan kita bertemu lagi di tahun-tahun yang akan datang,” kata Shaikh Haji Khalid.

ARTIKEL YANG SAMA