Teruskan tradisi sukan polo

Oleh Imelda Groves HA & Mohammad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussaalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Penyampaian Hadiah Piala Ulang Tahun Persatuan Polo Diraja Brunei ke-40 yang berlangsung di Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Turut berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj serta kerabat diraja dan jemputan diraja yang lainnya.

Pasukan Brunei I yang terdiri daripada DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, YTM Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, Awang Huzaimi bin Haji Mahari dan Lucas Fernandez dinobatkan sebagai juara bagi Kejohanan Trofi Ulang Tahun Polo Diraja Brunei ke-40.

Diikuti dengan Pasukan Brunei II yang terdiri daripada Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Qawi, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar, Pablo Ceseres dan Maria-Nela Castag-Niola.

Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja lain berkenan berangkat ke majlis itu.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan piala kemenangan kepada DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Mateen sambil disaksikan oleh YTM Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan cenderahati kepada DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan hadiah pemenang tempat ketiga kepada pasukan Malaysia iaitu Kelab Polo Diraja Selangor.
YTM Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah semasa menyampaikan sabda.

Sementara itu, pasukan dari Selangor, Malaysia yang terdiri daripada Datuk Said Budriz Putra Jamalullail bin Said Amir Jamalullail; Datuk Momed Moiz bin J.M Ali Moiz; Datuk Mohamed Zekri bin Haji Ibrahim; Saladin bin Mazlan Harun dan Shaik Reismann bin Ismail menduduki tempat ketiga diikuti pasukan dari Filipina yang terdiri daripada Santi Joban, Tommy Bitong, Farid bin Abdullah dan Facundo Llosa di tempat keempat.

Majlis pada malam ini juga menyaksikan penyampaian Piala Jubli Emas ke-50 yang juga dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada para penerima.

Penerima-penerima terdiri daripada Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Ba’asith bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong; Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Seri Paduka Haji Abdul Wahab bin Haji Mohd Said; Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud; Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Bijaya Kolonel (B) Dato Paduka Haji Hussin bin Haji Sulaiman; Yang Dimuliakan Pehin Datu Kesuma Diraja Kolonel (B) Haji Abdul Rahman bin Mustapha dan Dato Paduka Haji Hamzah bin Salleh.

Baginda Sultan juga berkenan mengurniakan cenderahati kepada para pengadil dan umpire.

Baginda juga menerima pasambah daripada paduka anakanda Baginda, YTM Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah yang juga selaku Presiden Persatuan Polo Diraja Brunei yang turut menyampaikan pesambah kepada Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah.

Di majlis itu, YTM Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah turut bersabda yang antara lain menyatakan rasa berbesar hati dengan kejayaan KejohananPolo Jubli Emas Brunei dan Piala Ulang tahun ke-40 Persatuan Polo Diraja Brunei.

Namun begitu, tambah Yang Teramat Mulia, tanpa adanya perkenan dan minat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pastinya semua ini tidak akan menjadi kenyataan.

Menurut Yang Teramat Mulia, dengan minat mendalam Baginda Sultan sejak 40 tahun lalu, telah banyak menyumbang kepada perkembangan sukan polo di negara ini dan memastikan kejayaannya sehingga kini.

Secara peribadi, Yang Teramat Mulia bersabda, majlis berkenaan sangat dekat di hati kerana sukan polo sudah menjadi sukan turun temurun semenjak Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien lagi.

“Saya ingat Baginda adalah peminat tegar sukan polo dan ia diwarisi kepada ayahanda dan adinda-adinda Baginda yang juga merupakan pemain sukan polo,” sabda Yang Teramat Mulia lagi.

Yang Teramat Mulia kemudiannya bersabda bahawa kembalinya sukan ini sejak beberapa tahun kebelakangan, mengimbau kembali nostalgia di antara keluarga diraja.

“Saya pasti ramai yang turut berkongsi memori indah sukan ini terutama di kalangan mereka yang mengikuti perkembangan ayahanda sebelum ini.”

Yang Teramat Mulia bersabda melahirkan harapan semoga tradisi ini akan diteruskan di kalangan generasi muda dan, tambahnya, sejak kebelakangan ini sukan berkenaan menunjukkan peningkatan dalam menghasilkan pemain yang berpotensi.

“Menang atau kalah bukan agenda utama kerana pada saya yang penting adalah semangat kesukanan dan persahabatan daripada perlawanan yang boleh dicontohi di segenap lapisan masyarakat di negara ini dan juga di rantau ini,” sabda Yang Teramat Mulia lagi.