Tesco alami kerugian

Tesco alami kerugian

LONDON, 7 Okt (AFP) – Peruncit terbesar Britain, kumpulan pasar raya Tesco, berkata hari ini ia mengalami kerugian bersih untuk separuh tahun pertamanya, sebahagian besarnya disebabkan kos yang dikaitkan dengan skandal perakaunan.

Kerugian selepas cukai mencecah 365 juta pound dalam tempoh enam bulan hingga akhir Ogos, berbanding dengan keuntungan bersih sebanyak 6.0 juta pound dalam tempoh yang sama setahun sebelumnya, kata Tesco dalam satu kenyataan pendapatan.

“Kami telah memberikan tahap perubahan yang tidak berlaku sebelumnya dalam perniagaan kami dalam tempoh 12 bulan lalu dan ia berjaya,” kata ketua eksekutif Dave Lewis.

Tesco berusaha membaik pulih perniagaannya selepas melaporkan kerugian tahunan terbesar dalam sejarah 100 tahunnya sebanyak 5.74 bilion pound untuk tahun ini hingga Februari.

Syarikat itu juga menghadapi siasatan penipuan setelah satu skandal perakaunan terbesar yang menyaksikan ia menyatakan keuntungan berlebih-lebihan sebanyak 263 juta pound disebabkan kesilapan yang berlaku sejak 2013.

Tesco telah dibelenggu jualan merosot disebabkan persaingan sengit daripada pesaing pasar raya harga murah Aldi dan Lidl, bayaran penyusunan semula dan penurunan nilai dalam portfolio hartanya.

Sementara itu, kumpulan Britain itu bulan lalu mengumumkan satu perjanjian untuk menjual unit Korea Selatan Homeplus kepada satu konsortium yang dipimpin oleh firma ekuiti swasta MBK Partners dengan harga lebih daripada 4.0 bilion pound.