Tetamu diraja serikan Sambutan Hari Kemasyarakatan

Tetamu diraja serikan Sambutan Hari Kemasyarakatan

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Infofoto

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Julai – Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD), hari ini, telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Kemasyarakatan Tahun 2016 yang berlangsung di ibu pejabat persatuan berkenaan.

Berkenan berangkat ke majlis itu, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah selaku Yang Di-Pertua PPPBD.

Turut berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah.

Majlis berkenaan antara lain bertujuan untuk meraikan sambutan Ulang Tahun Puja Usia YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah di samping mendedahkan ahlinya kepada budaya berkhidmat untuk masyarakat terutama kepada yang memerlukan, seterusnya memupuk dan memantapkan sifat jati diri, disiplin dan semangat kerja berpasukan melalui projek juga aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh persatuan. Dalam sembah alu-aluannya, Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Siti Hafsah binti Haji Abdul Halim antara lain berkata, ahli-ahli PPPBD telah dapat melaksanakan dan mengungkayahkan kegiatan kemasyarakatan antaranya seperti sumbangan kepada warga emas, ibu tunggal dan orang yang kurang berkemampuan.

“Projek telekung dan projek anak-anak yatim serta menolong membersihkan masjid dan perkuburan juga dapat dilaksanakan,” tambahnya lagi.

pg01_160727_a

YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah berkenan memotong Kek Puja Usia Yang Teramat Mulia.
YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah berkenan memotong Kek Puja Usia Yang Teramat Mulia.
YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah berkenan menyampaikan plak ‘Projek-Projek Perkembangan Kemasyarakatan bagi tahun 2015/2016.
YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah berkenan menyampaikan plak ‘Projek-Projek Perkembangan Kemasyarakatan bagi tahun 2015/2016.
YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah berkenan bergambar kenangan bersama Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam.
YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah berkenan bergambar kenangan bersama Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam.

Beliau seterusnya menjelaskan, pada sambutan Hari Kemasyarakatan tahun ini, persatuan bahagian Pandu Puteri merancang satu projek bagi menghidupkan semula batas tanaman sayur-sayuran di ibu pejabat yang dulunya diungkayahkan oleh ahli-ahli Pandu Puteri Tunas, Pasukan Pandu Puteri dan Pandu Puteri Ranger serta Unit Pemimpin Muda PPPBD.

“Sembilan buah batas bagi penanaman semula beberapa jenis sayuran itu akan dijalankan oleh para sukarelawan dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan melibatkan ibu dan bapa tunggal serta orang kurang mampu dan juga warga emas yang berdaftar di jabatan berkenaan,” jelasnya.

Sebagai acara kemuncak majlis sambutan Hari Kemasyarakatan ke-6 itu, YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah berkenan memotong Kek Ulang Tahun Puja Usia.

Terdahulu itu, Yang Teramat Mulia berkenan menyempurnakan penyerahan projek sukarelawan dan kemasyarakatan kepada wakil dari JAPEM, Hajah Saadiah binti Haji Ghazali.

Doa Selamat dibacakan oleh Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD, Hajah Fatimah binti Haji Abdul Ghani dan majlis juga diserikan dengan tayangan klip video projek perkembangan kemasyarakatan PPPBD bagi tahun 2015/2016.

ARTIKEL YANG SAMA