Tetap matlamat, bagaimana mencapainya

Tetap matlamat, bagaimana mencapainya

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 21 April – Sempena program IMAN 2016 (Extended Hours), Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) baru-baru ini telah mengundang ‘Ibadur Rahman Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong sebagai fasilitator jemputan untuk mengendalikan satu program motivasi yang bertajuk ‘Goal Setting and How to Achieve it’.

Hadir selaku fasilitator utama badan belia tersebut ialah Pegawai Pelajaran Kegiatan Luar di Kementerian Pendidikan, Awang Muhammad Samira Razin bin Abdullah Sambut, yang juga selaku pengasas dan mantan Presiden ‘Ibadur Rahman.

Program ini dihadiri oleh beberapa orang guru, fasilitator ‘Ibadur Rahman serta 220 orang pelajar institusi tersebut. Ini merupakan kali kedua ia dikendalikan dengan kali ini memuatkan beberapa aktiviti dan permainan interaktif yang melibatkan kesemua pelajar.

Selain itu, beberapa tip kejayaan turut dikongsikan antaranya, kepentingan bagi para pelajar untuk melakar cita-cita mereka dan memberikan definisi kejayaan dalam hidup mereka sendiri, bijak membuat keputusan dan mengatur masa, sering mengingati pesanan dan harapan daripada insan-insan tersayang dan menjaga adab dengan guru-guru kerana di sanalah datangnya keberkatan dalam pelajaran.

Para pelajar lelaki bergambar ramai bersama Awang Muhammad Samira Razin.
Para pelajar lelaki bergambar ramai bersama Awang Muhammad Samira Razin.

Program yang diadakan dari jam 2:30 hingga 4 petang itu diakhiri dengan sesi penyampaian sijil kepada enam fasilitator dan diselajurkan dengan sesi bergambar ramai.