Tevez kembali ke Boca Juniors

Tevez kembali ke Boca Juniors

BUENOS AIRES, 25 Jun (AFP) – Perpindahan penyerang Juventus, Carlos Tevez ke kelab asalnya, Boca Juniors hampir selesai selepas kelab Argentina itu dikatakan sudah mencapai persetujuan dengan juara Itali itu, kata pegawai rasmi Boca.

Setiausaha Agung Boca, Cesar Martucci memberitahu stesen radio AM1050 perpindahan Tevez sudah diselesaikan, sekalipun tiada sebarang pengesahan rasmi daripada kedua-dua pihak di Buenos Aires atau Turin.

“Kami amat gembira, selepas melakukan begitu banyak usaha, untuk membawa pulang bintang kami Carlos Tevez ke Buenos Aires,” katanya.

Martucci tidak memberikan sebarang maklumat tambahan mengenai perjanjian itu namun Tevez mungkin akan dipertontonkan kepada peminat di Stadium Bombonera sebelum 7 Julai ini.

Carlos Tevez merembat bola semasa menyertai sesi latihan bersama skuad Argentina di La Serena sebagai persediaan untuk Copa America, 22 Jun lalu. - Reuters
Carlos Tevez merembat bola semasa menyertai sesi latihan bersama skuad Argentina di La Serena sebagai persediaan untuk Copa America, 22 Jun lalu. – Reuters

Tevez, 31 yang diberi jolokan ‘Apache’ yang mengambil nama daerah setinggan di mana dia membesar di Buenos Aires beraksi bersama Boca pada 2001 hingga 2004 sebelum berhijrah ke Corinthians di Brazil.

Selepas itu, penyerang kental itu berhijrah ke Liga Perdana Inggeris untuk menyertai West Ham pada 2006 diikuti Manchester United sebelum menyarung jersi Manchester City dengan nilai perpindahan 40 juta pound pada 2009.

Dia menyertai Juventus pada 2013 selepas empat musim bersama City dan bergelar penjaring terbanyak Serie A musim lalu dengan meledak 20 gol membantu gergasi Itali itu menjuarai liga dan mara ke final Liga Juara-Juara Eropah.

ARTIKEL YANG SAMA