Tevez wira Boca Juniors

Tevez wira Boca Juniors

BUENOS AIRES, 14 Julai (AFP) – Carlos Tevez disambut sebagai wira apabila kembali ke kelab pertamanya Boca Juniors selepas 11 tahun di Eropah dan masih lagi dalam usia kemuncak sebagai pemain.

Pada masa lalu bekas bintang Argentina kembali ke tanah air dengan era senja kerjaya tetapi bukan begitu kesnya dengan Tevez yang sedekad lalu telah beraksi untuk Manchester City, Manchester United dan Juventus.

“Tidak ada hari yang lebih baik berbanding ini,” kata Tevez. “Inilah rumah saya dari awal sehingga akhir. Saya berada dalam keadaan terbaik dari segi fizikal dan mental.”

Pada usia 31 tahun, dia masih lagi mempunyai dua atau tiga tahun yang menarik di depannya dan tiba selepas semusim di mana dia menjaringkan 29 gol di Turin, menjulang gelaran Serie A dan tempat kedua dalam Liga Juara–Juara.

Tevez yang dikenali sebagai ‘Apache’ sempena nama daerah setinggan Buenos Aires di mana dia dibesarkan, kembali ke pasukan kebangsaan tahun ini sebagai pemain gantian selepas tiga tahun tanpa dihubungi.

Carlos Tevez (kiri) dan Presiden Boca Juniors, Daniel Angelici, bergambar dengan jersi penyerang baru mereka semasa memperkenalkannya kepada media di stadium La Bombonera, Buenos Aires semalam. – AFP
Carlos Tevez (kiri) dan Presiden Boca Juniors, Daniel Angelici, bergambar dengan jersi penyerang baru mereka semasa memperkenalkannya kepada media di stadium La Bombonera, Buenos Aires semalam. – AFP

Dia membawa Argentina ke separuh akhir Copa America dengan sepakan penentuan penalti sehingga menewaskan Colombia 5-4. Argentina tewas kepada Chile pada perlawanan akhir.

“Peminat seharusnya berterima kasih kepada Tevez. Atletico Madrid meletakkan cek di tangannya dan dia menjawab, ‘Saya mahu kembali ke Buenos Aires’,” kata legenda bola sepak Argentina Diego Maradona, yang juga bekas pemain Boca Junior.

Laporan akhir menggambarkan perbincangan telah diadakan bersama Atletico Madrid sementara media Britain berkata Liverpool juga berminat.

Boca Juniors pada masa ini mendahului liga Argentina yang meningkat kepada 30 buah kelab pada 2015 di mana Boca berharap untuk mengembalikan zaman kegemilangan bersama Tevez selepas memenangi gelaran Copa Libertadores pada 2003.