TFC platform tingkat ekonomi

TFC platform tingkat ekonomi

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 26 Feb – Bagi meningkatkan ekonomi masyarakat tempatan khususnya kalangan belia yang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan, acara Tutong Food Con (TFC) sedang dianjurkan selama tiga hari bermula hari ini hingga 28 Februari di kawasan Ruang Legar Hua Ho Petani Mall, Tutong.

TFC yang juga dikenali sebagai Tutong Food Convention itu telah disertai seramai 40 pengusaha yang akan memberi peluang kepada mereka untuk mempromosikan produk masing-masing dan memperbaiki mutu jualan mereka.

Diungkayahkan atas inisiatif Jabatan Daerah Tutong (JDT) selaku pengerusi dan pengurus My Kitchen Box adalah pengurus acara dan ketua penyelaras kumpulan pengusaha-pengusaha makanan secara online di daerah ini, TFC mula diperkenalkan pada bulan Oktober 2014 merupakan salah satu Program Rakan Strategik Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK).

Antara tujuannya adalah untuk meningkatkan lagi keberkesanan Satu Kampung Satu Produk (1K1P) iaitu dengan cara menggunakan MPMK sebagai landasan (platform) antara golongan belia yang berniaga kecil-kecilan dalam laman sosial, facebook dan aplikasi Instagram.

Acara Tutong Food Con diteruskan sehingga 28 Februari di Ruang Legar Hua Ho Petani Mall, Tutong.
Acara Tutong Food Con diteruskan sehingga 28 Februari di Ruang Legar Hua Ho Petani Mall, Tutong.

Di samping itu, ia juga adalah bagi mengumpulkan para pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di bawah naungan MPMK Daerah Tutong dalam mengeratkan perpaduan dan ukhuwah dengan penduduk dan masyarakat di daerah ini.

Pada masa yang sama, acara ini juga turut membantu pihak JDT melalui Bahagian Korporat dan Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong merealisasikan hasrat untuk menjadikan Daerah Tutong sebagai Daerah Destinasi yang menarik dan meriah dengan menarik kunjungan orang ramai ke daerah ini.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk datang memeriahkan lagi acara TFC ini yang disokong oleh ahli-ahli MPMK Daerah Tutong dan pihak Syarikat Hua Ho Petani Mall, Tutong selaku penyedia tempat acara TFC, yang dibukakan dari jam 10 pagi hingga 9:30 malam.

ARTIKEL YANG SAMA