TFTA rangsang pasaran rentas benua

TFTA rangsang pasaran rentas benua

CAPE TOWN, 7 Jun (AFP) – Pelancaran perjanjian perdagangan bebas (FTA) oleh tiga blok ekonomi Afrika di Mesir pada minggu ini akan mengorak langkah penting ke arah pasaran umum baru yang merentasi benua, menurut para penyokong.

Perjanjian di antara Komuniti Afrika Timur, Komuniti Pembangunan Afrika Selatan dan Pasaran Umum untuk Afrika Timur dan Selatan akan mewujudkan satu pasaran yang terdiri daripada 26 negara dengan 625 juta penduduk dan keluaran dalam negara kasar berjumlah lebih daripada AS$1 trilion.

Kawasan Perdagangan Bebas Tiga Pihak (TFTA) akan dilancarkan pada sidang kemuncak pemimpin negara dan kerajaan pada Rabu di Sharm-el-Sheik, Mesir selepas rundingan empat tahun untuk menubuhkan rangka kerja untuk kelebihan tarif dan komitmen lain.

“Pelancaran TFTA merupakan satu peristiwa penting untuk benua Afrika,” kata kerajaan Afrika Selatan.

“Kami percaya ia menghantar mesej yang berpengaruh bahawa Afrika adalah komited dengan agensi penyepaduan ekonomi dan dalam mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk perdagangan dan pelaburan.” Tindakan tersebut dialu-alukan oleh pemimpin perniagaan pada Sidang Kemuncak Ekonomi Dunia untuk Afrika di Cape Town pada minggu lalu, dengan peserta menekankan hanya 12 peratus daripada jumlah perdagangan negara Afrika adalah sesama sendiri – berbanding dengan 55 peratus di Asia dan 70 peratus di Eropah.