TH Travel tawar pakej pelancongan baharu

TH Travel tawar pakej pelancongan baharu

MAKKAH, 23 Jun (Bernama) – TH Travel & Services Sdn. Bhd kini meneroka peluang baharu dengan menawarkan pakej pelancongan ke destinasi popular di negara Eropah Timur.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Mohd Khalid Noordin berkata pakej yang diperkenalkan untuk musim cuti persekolahan dari November hingga 31 Disember tahun ini, menjanjikan percutian menarik.

Dalam pakej ini, aspek kerohanian kekal menjadi teras utama kerana ia merupakan teras utama perniagaan syarikatnya kepada umat Islam di Malaysia.

“Oleh itu kami tetap menekankan soal makanan halal dan solat,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Pada masa sama, Mohd Khalid berkata pihaknya juga menaik taraf pakej umrah dan haji dengan memperkenalkan beberapa destinasi baharu yang dikenali sebagai pakej umrah plus.

TH Travel & Services Sdn. Bhd kini menawarkan pakej pelancongan ke destinasi popular di negara Eropah Timur untuk musim cuti persekolahan dari November hingga 31 Disember tahun ini.
TH Travel & Services Sdn. Bhd kini menawarkan pakej pelancongan ke destinasi popular di negara Eropah Timur untuk musim cuti persekolahan dari November hingga 31 Disember tahun ini.

Katanya menerusi pakej tersebut, pelanggan bukan sahaja dapat menunaikan ibadah di Makkah dan Madinah, bahkan turut dibawa melawat Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, selain lawatan ke Dubai dan Turki.

Dalam memberikan khidmat terbaik, beliau berkata TH Travel & Services juga menyewa pesawat jenis A380 milik Malaysia Airlines Berhad sebagai nilai tambah kepada para pelanggan.

Sebelum ini, syarikat itu menyewapesawat Boeing 777 untuk pakej tersebut. Beliau menjangkakan syarikat itu akan membuat 51 tempahan penerbangan tahun ini.

Pakej Umrah menjadi teras perniagaan syarikat itu berikutan permintaan tinggi, dan menurut laporan Saudi Press Agency baru-baru ini, sehingga Selasa lepas seramai 5.8 juta jemaah berada di Tanah Suci Makkah untuk menunaikan Umrah di bulan Ramadan.

Dalam perkembangan lain beliau berkata pihaknya merancang memperkenalkan pakej baharu khusus untuk peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris dengan menawarkan pakej lawatan ke kelab-kelab terkemuka pilihan mereka.