THAAD: Korea U ancam ambil tindakan fizikal

THAAD: Korea U ancam ambil tindakan fizikal

SEOUL, 17 Ogos – Korea Utara hari ini melabel Presiden Korea Selatan Park Geun-Hye sebagai ‘psikopat’ selepas beliau membuat ucapan yang membidas cita-cita nuklear Pyongyang dan mempertahankan penempatan sistem anti peluru berpandu Amerika Syarikat (AS).

Dalam ucapan presiden Korea Selatan yang disiarkan di televisyen Isnin lalu, Park menekankan bahawa penempatan sistem Pertahanan Terminal Kawasan Altitud Tinggi (THAAD) adalah tindakan ‘mempertahankan diri’ dalam respons terhadap program senjata nuklear Korea Utara yang diperluaskan.

Jurucakap Jawatankuasa Penyatuan Semula Aman Negara Korea Utara berkata hujahan Park ‘tidak munasabah dan tidak berasas’.

“Ini hanyalah alasan pincang dan beliau seharusnya tahu bahawa tidak sesiapa akan menerima hujah yang nampaknya menarik daripada boneka yang tidak boleh melakukan apa-apa tanpa kelulusan ketuanya, AS,” kata jurucakap itu lagi.

“Ini adalah percakapan yang tidak bermakna dari seorang yang gila,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA.

Korea Utara mengancam akan mengambil ‘tindakan fizikal’ ke atas penempatan THAAD dengan mengatakan mana-mana pelabuhan Korea Selatan dan padang udaranya yang menggunakan perkakasan tentera AS akan menjadi sasaran.

Beijing juga membantah langkah itu, dengan menganggapnya sebagai usaha AS untuk mengukuhkan pengaruh tenteranya di rantau itu dan melemahkan kemampuan peluru berpandu China sendiri.

Ketua Turus Tentera AS Jeneral Mark Milley, menangani kebimbangan itu ketika rundingan semalam dengan rakan sejawatannya dari China, Jeneral Li Zuocheng di Beijing.

THAAD, bukan ancaman kepada China,” Milley memberitahu Li, menurut kenyataan tentera AS.

Menempatkan sistem ini ‘adalah langkah mempertahankan untuk melindungi rakyat Korea Selatan dan Amerika dari ancaman peluru berpandu balistik Korea Utara, ” tambahnya.

Milley dijangka mengadakan rundingan dengan para pegawai tertinggi tentera Korea Selatan di Seoul hari ini.

Isu THAAD juga sasaran kritikan tempatan, terutamanya mereka yang tinggal di wilayah luar bandar Korea Selatan Seongju, tempat bateri pertama akan dipasang. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA