Thai AirAsia, Thai Airways bincang cadangan ambil alih kepentingan

Thai AirAsia, Thai Airways bincang cadangan ambil alih kepentingan

BANGKOK, 21 Feb (Bernama) – Ketua-ketua operasi Thai AirAsia dan Thai Airways International (THAI) akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan kemungkinan syarikat penerbangan negara Thai membeli 20 peratus kepentingan dalam syarikat penerbangan tambang murah berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi Thai AirAsia, Tassapon Bijleveld berkata beliau dijadualkan bertemu rakan sejawatannya daripada THAI, Charamporn Jotikasthira minggu depan bagi membincangkan idea yang dicetuskan oleh Timbalan Perdana Menteri Somkid Jatusripitak.

“Saya merancang untuk membincangkan idea itu dengan Charamporn sebelum saya boleh beritahu anda dengan lebih lanjut,” katanya, dipetik oleh Bangkok Post pada Sabtu.

Pada Jumaat, Tassapon yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Asia Aviation Plc (AAV) iaitu pemilik Thai AirAsia, mengesahkan Somkid mengusulkan idea itu semasa pertemuan dengan pegawai kanan daripada pihak berkuasa pelancongan, THAI dan anak syarikat tambang murahnya Thai Smile Airways, serta Thai AirAsia.

Thai Airways International berkemungkinan membeli 20 peratus kepentingan daripada syarikat Thai AirAsia. – Reuters
Thai Airways International berkemungkinan membeli 20 peratus kepentingan daripada syarikat Thai AirAsia. – Reuters

Timbalan Perdana Menteri menegaskan pegangan strategik THAI dalam Thai AirAsia akan memberi sinergi kepada dua pesaing dan membolehkan mereka memperluas laluan ke bandar raya di Kemboja, Laos dan Myanmar.

Sinergi itu juga akan menjadikan Thailand hab pelancongan serantau, katanya.

Somkid dilapor mengarahkan Charamporn menyiapkan kajian kebolehlaksanaan cadangan pembelian kepentingan itu dalam tempoh dua bulan, yang jika dilaksanakan akan dibiayai oleh Vayupak Fund, dana infrastruktur di bawah Kementerian Kewangan.

ARTIKEL YANG SAMA