Thai dakwa tiada lagi saki baki kem

Thai dakwa tiada lagi saki baki kem

BANGKOK, 25 Mei (Reuters) – Polis Thai berkata hari ini tiada lagi saki baki kem pemerdagangan orang di selatan Thailand berikutan gerakan keras semalam sebulan dan penemuan tujuh kem di kawasan hutan pergunungan berhampiran sempadan Thai-Malaysia.

Ulasan itu dibuat beberapa jam selepas polis Malaysia menemui 139 kubur yang dipercayai mengandungi mayat penghijrah dari Myanmar dan Bangladesh di sekitar lebih dua dozen kem pemerdagangan manusia berhampiran sempadan dengan Thailand.

Awal bulan ini, 36 mayat dipercayai penghijrah dari Bangladesh dan Myanmar ditemui di wilayah Songkla di selatan Thailand.

Dua puluh enam mayat tersebut ditemui berhampiran kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan jauh di dalam hutan, amat hampir dengan sempadan Malaysia.

Penemuan tersebut mencetuskan gerakan keras oleh Thailand ke atas kem-kem terbabit dan krisis serantau yang menyaksikan beribu-ribu penghijrah yang diabaikan oleh para penyeludup di Teluk Bengal dan Laut Andaman.

“Sejak kami memulakan penyiasatan, suatu penyiasatan besar, kami tidak menemui lagi kubur-kubur atau kem pemerdagangan manusia selain yang disebutkan sebelum ini,” Phuttichart Ekachan, timbalan ketua Polis Wilayah 9 Thailand, memberitahu Reuters.

“Kami masih lagi mengesan kem-kem yang mungkin masih wujud tetapi kami fikir sudah tiada lagi kem seumpama itu di pihak Thai.”

Polis Thai menemui tujuh kem penyeludup orang di Khao Kaew, yang diterjemahkan sebagai “Gunung Kaca” di daerah Sadao di wilayah Songkhla, sejak 1 Mei lepas.

Kebanyakan kem-kem tersebut terletak hanya beberapa ratus meter dari sempadan dengan Malaysia.

Phuttichart berkata polis Thai bersedia membantu Malaysia dalam penyiasatan mereka.

“Thailand bersedia membantu Malaysia jika mereka memerlukan bantuan kami,” kata Phuttichart. “Bagaimanapun sekatan ini kami masih belum menerima sebarang permintaan dari polis Malaysia.”

ARTIKEL YANG SAMA