Thai umum pelan tindakan ekonomi 6 tahun bagi 3 wilayah selatan

Thai umum pelan tindakan ekonomi 6 tahun bagi 3 wilayah selatan

BANGKOK, 25 Julai – Kerajaan Thai mengumumkan pelan tindakan pembangunan ekonomi enam tahun untuk tiga wilayah selatan negara itu – Pattani, Yala dan Narathiwat.

Jurucakap kerajaan, Mejar Jen Sansern Kaewkamnerd berkata menerusi pelan itu tiga wilayah berkenaan akan dimajukan berasaskan identiti sosioekonomi masing-masing.

“Kerajaan akan membangunkan Nong Chik, Pattani sebagai bandar raya model bagi industri pertanian bercampur yang moden manakala Betong di Yala dibangunkan sebagai bandar raya tenaga mampan yang mampu berdikari”.

“Sungai Kolok akan menjadi hab dagangan rentas sempadan. Ketiga-tiga bandar raya akan membentuk segi tiga ekonomi bagi merangsang pembangunan di wilayah terbabit,” katanya dipetik oleh media hari ini.

Pengumuman inisiatif ekonomi utama bagi wilayah selatan itu oleh kerajaan serentak dengan lawatan Perdana Menteri Jen Prayuth Chan-o-chan ke Narathiwat hari ini.

Menurut Sansern, Perdana Menteri akan menemui pegawai tempatan dalam usaha untuk mendorong pelaburan di ketiga-tiga wilayah selatan yang bergolak itu.

“Perdana Menteri menggalakkan pendekatan ekonomi bagi menyelesaikan masalah dan membangunkan wilayah sempadan selatan itu bagi meningkatkan kualiti hidup dan mewujudkan keamanan berkekalan,” katanya.

Lebih 6,000 orang mati akibat pergolakan dan konflik di Yala, Pattani dan Narathiwat.

Pelan enam itu menurut Sansern akan bermula tahun depan hingga 2022 menerusi dua fasa tiga tahun yang bakal menyaksikan keseragaman sistem logistik di tiga wilayah dengan Malaysia dan Singapura.

Pusat Pentadbiran Sempadan Wilayah Selatan akan menjalin usaha sama dengan dewan perniagaan wilayah terbabit serta bersama ahli perniagaan tempatan, katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA