Thailand-AS meterai perjanjian banteras pengelakan cukai

Thailand-AS meterai perjanjian banteras pengelakan cukai

BANGKOK, 4 Mac (Bernama) – Thailand dan Amerika Syarikat memeterai perjanjian antara kerajaan bagi melaksana Akta Pematuhan Cukai Akaun Asing (FATCA) untuk menggalak ketelusan di antara kedua-dua negara mengenai percukaian.

Perjanjian itu ditandatangani Menteri Kewangan Thailand, Apisak Tantivorawong dan Duta AS ke negara ini, Glyn T.Davies di sini, hari ini.

“Pemeteraian itu menandakan langkah penting dalam perkongsian di antara AS dan Thailand bagi memerangi pengelakan cukai luar pesisir, objektif yang akan memanfaatkan kedua-dua negara,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan selepas majlis itu.

Mengikut perjanjian itu Thailand akan berkongsi maklumat mengenai akaun dipegang oleh rakyat AS dan Washington akan berkongsi maklumat mengenai akaun dipegang warga Thai.

Pada 2010 AS menggubal FATCHA bagi memerangi pengelakan cukai luar pesisir dengan menggalak ketelusan ke atas akaun dipegang oleh pembayar cukai di negara lain.