Thailand batalkan pasport Thaksin

Thailand batalkan pasport Thaksin

BANGKOK, 27 Mei (AFP) – Kementerian luar negeri Thailand berkata hari ini ia telah membatalkan pasport bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra disebabkan beliau dianggap telah ‘mengancam keselamatan negara’ dalam satu temu bual baru-baru ini.

Jutawan yang menjawat jawatan perdana menteri, yang digulingkan oleh rampasan kuasa pada 2006, menjadi tumpuan perpecahan politik Thailand dan kini hidup dalam buangan untuk mengelak daripada dipenjarakan disebabkan dakwaan rasuah.

Kementerian luar negeri berkata ia diminta mengambil tindakan ke atas Thaksin selepas polis menganggap ‘sebahagian daripada temu bualnya menimbulkan ancaman kepada keselamatan dan reputasi negara’.

Masih tidak jelas temu bual yang mana satu yang dirujuk atau kenapa ia dianggap mencari peraturan keselamatan, namun pada minggu lalu Thaksin mengeluarkan komen awam dalam satu temu bual luar negara yang disiarkan CNN dan pada Persidangan Kepimpinan Asia di Seoul.

Dalam kenyataannya, kementerian luar negeri berkata dua pasport milik Thaksin telah pun dibatalkan berkuat kuasa 26 Mei.

Sejak tinggal dalam buangan, beliau telah merantau dengan kerap dan telah menetap di Dubai.

“Kementerian Luar Negeri memutuskan sebab-sebab yang dipetik oleh agensi keselamatan dan polis adalah mencukupi untuk membatalkan pasportnya di bawah peraturan kementerian,” kata kenyataan.

Masih terlalu awal untuk mengesahkan kesan tindakan ke atas keupayaan Thaksin untuk berkunjung namun beliau juga dipercayai memegang pasport dari negara lain.

Pada Mei lalu, jeneral Thailand menyingkir kerajaan adik perempuan Thaksin, Yingluck, dalam satu rampasan sejurus selepas beliau dipecat sebagai perdana menteri ekoran keputusan mahkamah.

ARTIKEL YANG SAMA