Thailand bebas bekas pemimpin pemisah

Thailand bebas bekas pemimpin pemisah

PATTANI, 18 Sept (Agensi) – Bekas pemimpin Pertubuhan Pembebasan Petani Bersatu (Pulo), Haji Da-o Thanam atau dikenali sebagai Da-o Maseng akan dibebaskan dengan parol selepas 17 tahun dipenjara.

Pengarah urusan Jabatan Pemulihan, Withaya Suriyawong berkata, pembebasan Haji Da-o itu juga sebahagian daripada rundingan damai di selatan negara itu.

Menurut laporan portal Daily News, Withaya berkata, beliau menandatangani arahan Penjara Pattani untuk membebaskan Haji Da-o pada 21 September ini.

Katanya, pembebasan itu menunjukkan dasar kerajaan yang jujur menyelesaikan konflik di wilayah berkenaan.

Haji Da-o adalah bekas pemimpin Pulo kedua yang dibebaskan tahun ini.

Pada 17 Julai lalu, Haji Sama-ae Thanam dibebaskan atas sebab yang sama selepas dipenjara selama 17 tahun.

Kedua-dua mereka dihukum penjara selepas didapati bersalah memberontak, memiliki senjata dan beberapa tuduhan yang berkaitan dengan pemberontakan di wilayah itu. Da-o didakwa di mahkamah pada 1998 dan pada 2002 dia dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan memberontak yang kemudian dikurang kepada penjara seumur hidup.