Thailand buru penyebar khabar angin punca saham merudum jatuh

Thailand buru penyebar khabar angin punca saham merudum jatuh

BANGKOK, 13 Okt – Penyebar khabar angin sehingga menyebabkan Bursa Saham Thailand merudum jatuh akan diburu, kata Timbalan Perdana Menteri Somkid Jatusripitak. Bursa Saham Thailand (SET) mula menjunam sejak Isnin lepas dan meneruskan kerugiannya semalam.

Dalam dagangan yang tidak menentu semalam, SET susut sebanyak 6.9 peratus sebelum kembali pulih pada 2.5 peratus lebih rendah.

“Saya meminta para pelabur untuk tidak mendengar khabar angin tersebut. Yakin dengan potensi Thailand dan jangan percaya pada khabar angin yang telah menyebabkan kejatuhan SET.

“Suruhanjaya Bursa Thailand akan mencari pihak bertanggungjawab yang menyebarkan khabar angin ini,” katanya kepada pemberita di Rumah Kerajaan di sini hari ini.

Somkid, yang juga bertanggungjawab ke atas hal-ehwal ekonomi, berkata keadaan di Thailand semakin bertambah baik dan menasihatkan orang ramai untuk menerima penjelasan hanya daripada kerajaan serta Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha berbanding khabar angin.

Khabar angin sebelum ini mendakwa bahawa Perdana Menteri akan membuat satu pengumuman penting pada tengah hari semalam telah tersebar sebelum bursa saham ditutup untuk hari tersebut. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA