Thailand kekal di Peringkat 3

Thailand kekal di Peringkat 3

BANGKOK, 28 Julai (Bernama) – Thailand kekal menduduki Peringkat 3 dalam Laporan Pemerdagangan Orang Jabatan Negara Amerika 2015.

Dalam reaksinya mengenai kedudukan yang diberi kepada Thailand bagi tahun kedua berturut-turut itu, Kementerian Luar Thailand berkata ia mengambil maklum tentang penilaian itu.

Bagaimanapun, kata kementerian itu, ia percaya kedudukan Thailand di Peringkat 3 dalam laporan itu tidak mencerminkan dengan tepat kesungguhan usaha yang dilakukan kerajaan negara ini serta kerjasamanya dengan sektor swasta dan masyarakat sivil yang mencatat kejayaan ketara dalam semua aspek pada tahun sebelumnya.

Sejak Ogos tahun lepas, kerajaan Thailand menterjemahkan keazaman politiknya untuk memerangi pemerdagangan orang ke dalam bentuk penggubalan dasar praktikal, pelaksanaan secara berkesan dan pencapaian hasil yang konkrit, kata kementerian itu.

Mengenai dasar dan pelaksanaan dasar, kementerian itu berkata, langkah pertama yang diambil kerajaan ialah mengisytiharkan usaha memerangi pemerdagangan orang sebagai keutamana negara; kedua, menubuhkan sebuah jawatankuasa dasar mengenai pembanterasan pemerdagangan orang dan penangkapan ikan secara haram yang dipengerusikan perdana menteri, serta lima jawatankuasa kecil yang dipengerusikan timbalan perdana menteri dan para menteri berkenaan; dan, ketiga, menyemak semula dan menggubal beberapa undang-undang serta peraturan, termasuk Akta Pencegahan Pemerdagangan Orang.

Mengenai pendakwaan dan penguatkuasaan undang-undang, kementerian itu berkata, agensi berkenaan telah meningkatkan usaha masing-masing, yang membawa kepada penghapusan sindiket pemerdagangan orang, manakala banyak pegawai tinggi yang terlibat dengan kegiatan pemerdagangan orang telah ditangkap dan dikenakan hukuman.

Kementerian itu berkata, dari segi pencegahan, penyelesaian bersifat holistik bagi mengatasi eksploitasi tenaga buruh dalam sektor perikanan, telah diperkenalkan, seiring dengan langkah mempercepatkan urusan pendaftaran dan pemutihan lebih 1.6 juta migran tanpa izin. Dasar berkenaan membolehkan mereka mendapat perlindungan undang-undang dan sekali gus mengurangkan pendedahan mereka terhadap risiko menjadi mangsa kegiatan pemerdagangan orang, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA