Thailand kekalkan rekod tanpa kalah, juarai Kumpulan B

Thailand kekalkan rekod tanpa kalah, juarai Kumpulan B

SINGAPURA, 11 Jun (Bernama) – Juara bertahan, Thailand, terus mempamerkan persembahan hebat dengan meraih kemenangan kelima berturut-turut dalam Kumpulan B dengan mengalahkan Vietnam 3-1 pada Sukan SEA ke-28 di Bishan Stadium, di sini, malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan Thailand memintas Vietnam untuk menduduki tangga teratas Kumpulan B dengan 15 mata penuh, manakala Vietnam terpaksa akur untuk berada di tangga kedua dengan 12 mata.

Dalam perlawanan malam ini, Thailand memperoleh gol melalui Pakorn Parmpak pada minit ke-21, Thitiphan Puangjan (minit ke-62 melalui sepakan penalti) dan Do Tristan pada minit ke-77, manakala Le Thanh Binh menjaringkan gol tunggal untuk Vietnam pada minit ke-89.

Sementara itu, Myanmar muncul sebagai juara Kumpulan A walaupun seri 3-3 dengan Kemboja dalam perlawanan akhir kumpulan di Stadium Jalan Besar.

Myanmar akan bertemu Vietnam pada peringkat separuh akhir, manakala Thailand, yang menyasarkan meraih pingat emas ke-15 mereka dalam acara bola sepak, perlu menunggu pasukan mana yang menjadi naib juara kumpulan mereka iaitu Singapura atau Indonesia.