Thailand laksana langkah kesihatan buat jemaah haji

Thailand laksana langkah kesihatan buat jemaah haji

BANGKOK, 22 Jun (dpa) – Thailand akan mengenakan langkah kesihatan ketat ke atas warganegaranya yang beragama Islam yang hendak mengerjakan haji untuk menghentikan penularan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS), menurut pegawai hari ini.

Kerajaan menjangkakan bahawa lebih 10,000 warga Islam Thailand akan berkunjung ke Arab Saudi pada September untuk mengunjungi kota suci itu.

“Kami tidak mempunyai pelan untuk menghentikannya,” kata pegawai pejabat setiausaha tetap Kementerian Kesihatan Awam yang meminta tidak dinamakan.

“Bagaimanapun, kami akan mempunyai langkah-langkah yang telah ditetapkan yang perlu dilaksanakan semasa perjalanan mereka dan setelah mereka kembali ke tanah air.”

Di antara langkah-langkah itu adalah rancangan untuk memvaksin kesemua jemaah bagi selesema atau demam kuning sebelum mereka berlepas, menghantar doktor-doktor kementerian untuk menemani jemaah haji dan langkah-langkah kuarantin semasa kepulangan mereka.

“Kami akan memantau mereka yang sudah pulang ke tanah air itu selama sebulan, jika mereka menunjukkan sebarang simptom MERS, mereka akan dikuarantin dan diasingkan dengan segera,” tambah pegawai.

Thailand merekodkan kes pertama MERS minggu lepas, apabila pelancong perubatan dari Oman telah didapati dijangkiti virus itu dan dikuarantin di hospital khas bagi penyakit berjangkit.

Tiga orang yang menemaninya semasa lawatan itu juga telah dikuarantin dan diuji dijangkiti virus itu namun sejauh ini menunjukkan negatif.

ARTIKEL YANG SAMA