Thailand lanjut tempoh berkabung sehingga 29 Okt

BANGKOK, 11 Okt – Thailand telah melanjutkan tempoh berkabung untuk mendiang Raja Bhumibol Adulyadej selama dua hari lagi iaitu sehingga 29 Oktober, lapor Agensi Berita Thailand (TNA).

Penolong Jurucakap Kerajaan Kolonel Thaksada Sangkhachan berkata mesyuarat kabinet memutuskan bahawa agensi kerajaan dan kedutaan Thailand di luar negara hendaklah mengibarkan bendera pada separuh tiang mulai 13 hingga 29 Oktober semasa istiadat pembakaran diraja.

Semua plakad perkabungan dan kain rentang hitam putih pula hendaklah diturunkan dari semua pejabat kerajaan serta jalan raya pada 29 Oktober.

Penjawat awam dan kakitangan perusahaan negeri juga dinasihatkan berhenti berkabung mulai 30 Oktober. – Bernama