Thailand luluskan bantuan 12.75b baht

Thailand luluskan bantuan 12.75b baht

BANGKOK, 3 Nov (Bernama) – Kabinet Thailand meluluskan pakej bantuan 12.75 bilion baht (RM1=8.30 baht) bagi membantu pekebun getah yang terjejas teruk berikutan harga rendah komoditi itu yang berpanjangan.

Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan-ocha berkata bantuan tersebut bagi kawasan penanaman getah yang sah, dan pemilik tanah akan memperoleh 900 baht setiap rai (satu rai bersamaan 0.16 hektar) manakala penoreh getah akan mendapat 600 baht setiap rai.

Bantuan kewangan ini terhad kepada 15 rai setiap isi rumah, kata beliau selepas mesyuarat mingguan kabinet.

Bagi penoreh getah yang bekerja di ladang haram, beliau berkata pihak berkuasa berkenaan diminta meninjau cara yang sesuai untuk membantu mereka.

Jurucakap kerajaan, Kolonel Sansern Kaewkamnerd berkata langkah berkenaan akan membantu kira-kira 850,000 isi rumah.

Sebelum ini kerajaan menyediakan 1,000 baht setiap rai dan usaha berkenaan tidak dapat meliputi kesemua pekebun yang terlibat dalam sektor itu, kata Sansern.

ARTIKEL YANG SAMA