Thailand minat model pemulihan dadah Brunei

Thailand minat model pemulihan dadah Brunei

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Program rawatan dan pemulihan komprehensif yang bukan sahaja menumpukan kepada pengukuhan sikap fizikal tetapi juga spiritual para penghuni, telah menarik perhatian delegasi Thailand untuk memperbaiki program mereka dalam pemulihan bagi penagih dadah.

Thailand juga amat berminat untuk mempelajari dan menggunakan model rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah yang dilaksanakan di Brunei untuk memantapkan lagi program rawatan dan pemulihan mereka.

Timbalan Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Perubatan, Hospital Thanyarak Pattani, Dr Paskorn Chaivanichsiri dalam temu bual bersama Media Permata di Gadong, kelmarin berkata, program rawatan dan pemulihan yang dilaksanakan di Brunei mempunyai tempoh pengawasan, penjagaan dan bantuan susulan sehingga tiga tahun dan ini berbeza daripada Thailand di mana ia hanyalah di antara empat hingga enam bulan.

Dr Paskorn mengetuai rombongan seramai sembilan orang pegawai dari Princess Mother National Institute Drug Abuse Treatment, Hospital Thanyarak Pattani, Thailand mengadakan lawatan kerja selama lima hari bermula 7 hingga 11 Ogos.

Menurut beliau, program rawatan dan pemulihan yang dilaksanakan di Brunei adalah lebih holistik di mana ia bukan sahaja dikendalikan oleh pakar yang mempunyai latar belakang perubatan tetapi juga pegawai yang mempunyai kepakaran dalam kerja-kerja sosial.

Dr Paskorn Chaivanichsiri dan rombongan bergambar ramai sebelum meninggalkan Brunei selepas lawatan kerja selama lima hari.
Dr Paskorn Chaivanichsiri dan rombongan bergambar ramai sebelum meninggalkan Brunei selepas lawatan kerja selama lima hari.

Di Thailand, jelasnya, program rawatan dan pemulihan yang dijalankan adalah menumpukan kepada model perubatan dengan dikendalikan oleh pakar perubatan dan tidak secara komprehensif.

Oleh itu, beliau menyatakan harapan untuk meningkatkan lagi kerjasama di antara Thailand dan Brunei dalam bidang rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah di mana Thailand bersedia untuk menawarkan latihan dalam bidang perubatan dan berharap Brunei mampu untuk berkongsi amalan terbaik mereka dengan melaksanakan latihan di Brunei atau Thailand dan juga pertukaran pegawai di antara kedua-dua buah negara.

Dr Paskorn turut menyatakan rasa amat kagum dengan program rawatan dan pemulihan yang dilaksanakan di Pusat Al-Islah di mana beliau berserta rombongan berpeluang untuk melihat sendiri program rawatan dan pemulihan yang dijalankan.

Katanya, penghuni pusat itu diberikan panduan dan didikan melalui pendekatan kerohanian dan keagamaan di mana beliau percaya ia mampu untuk menjana perubahan positif dalam diri penghuni itu.

Selain itu, para penghuni juga diberikan latihan vokasional dan kemahiran hidup di mana beliau percaya dapat membantu para penghuni untuk kembali ke pangkuan masyarakat serta menjadi ahli masyarakat yang produktif.

Semasa berada di Brunei, mereka berpeluang melawat dan mendengar taklimat mengenai Biro Kawalan Narkotik (BKN) serta mengadakan lawatan ke Pusat Rawatan dan Pemulihan Al-Islah.

Lawatan kerja berkenaan bermatlamat untuk memberikan peluang kepada kedua-dua buah negara mengenali, mempelajari dan mengetahui program serta kaedah rawatan dan pemulihan yang dijalankan.

Pada masa yang sama, lawatan itu diharap dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara BKN dengan Princess Mother National Institute Drug Abuse Treatment, Hospital Thanyarak Pattani, Thailand.

ARTIKEL YANG SAMA