Thailand nafi laporan seksa

Thailand nafi laporan seksa

BANGKOK, 12 Feb – Thailand menafikan laporan yang mendakwa wujudnya perbuatan menyeksa manusia di wilayah selatan yang dilanda pergolakan serta menyifatkannya sebagai berat sebelah dan bertujuan memungut dana dari luar negara.

Mej Jen Banpot Poonpien, jurucakap Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri, berkata laporan itu dikeluarkan sekumpulan NGO, walaupun pada hakikatnya, keadaan di selatan Thailand mencapai kemajuan ketara dan kadar keganasan pula berkurang dengan banyaknya.

“Mengenai perkara ini (laporan berkenaan), ISOC ingin menjelaskan bahawa terdapat kemajuan dari segi penyelesaian masalah di wilayah jauh ke selatan sejak 12 tahun lepas, hasil daripada dasar dan strategi yang disusun kerajaan.

“Ia telah membantu mengubah keadaan kacau-bilau di wilayah paling selatan, merintis jalan ke arah pencapaian penyelesaian terhadap konflik secara aman dan melalui kerjasama baik daripada semua pihak yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Banpot membuat kenyataan itu sebagai respons terhadap laporan yang dikeluarkan Cross Cultural Foundation (CrCF), Rangkaian Hak Asasi Manusia Pattani dan Duay Jai Group mengenai dakwaan wujudnya perbuatan menyiksa manusia di selatan Thailand berdasarkan temu bual dengan 54 orang yang didakwa menjadi mangsa.

Menurut Banpot, pasukan keselamatan sering mengadakan latihan bagi meningkatkan tahap kesedaran anggotanya agar mereka tidak melakukan tindakan yang boleh menimbulkan masalah dari segi hak asasi manusia.

Beliau berkata pasukan keselamatan juga bergantung kepada kerjasama pemimpin agama dan masyarakat untuk menjadi saksi ketika menguatkuasakan undang-undang.

Ketika melancarkan laporan itu di Pattani baru-baru ini, pengarah CrCF Pornpen Khongkachonkiet berkata laporan itu mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dan menegaskan bahawa ia bukan bertujuan mencemarkan nama baik pasukan keselamatan. – Bernama