Thailand perkukuh kedudukan pendahulu pungutan pingat

Thailand perkukuh kedudukan pendahulu pungutan pingat

SINGAPURA, 15 Jun (Bernama) – Thailand sudah mula menghitung perkiraan detik 24 jam untuk dinobatkan juara keseluruhan Sukan SEA ke-28 apabila memperkasakan kedudukan di persada carta pungutan pingat setakat pukul 8 malam ini.

Mengikut perkiraan terbaru, Thailand mengutip 90 pingat emas, 83 perak dan 68 pingat gangsa manakala tuan rumah, Singapura, ketinggalan lapan butir emas, untuk menghuni tangga kedua.

Singapura setakat ini mengutip 82 emas, 73 perak dan 101 gangsa diikuti Vietnam 73-52-60 dan Malaysia 60-53-66.

Kedudukan Thailand sukar digugat oleh Singapura memandangkan hanya tujuh pingat emas akan menjadi rebutan pada hari terakhir esok.

Bagaimanapun, Thailand mahupun Singapura tidak mempunyai wakil pada penentuan lima pingat emas dalam acara badminton esok manakala Singapura bersaing dengan Indonesia untuk pingat emas dalam acara polo air lelaki.

Namun, Thailand turut mempunyai peluang kilauan emas terakhirnya apabila menentang Vietnam dalam acara bola tampar lelaki.

ARTIKEL YANG SAMA